PETALING JAYA: Pelakon JC Chee mendedahkan dia kembali beraksi bermain bola sepak selepas menerima tawaran bagi menjayakan filem OlaBola. Chee, 29, berkata, sebelum ini dia sudah meninggalkan sukan berkenaan selama 15 tahun dan filem arahan Chiu Keng Guan itu mengimbau banyak kenangan bermain bola sepak bersama rakan sekolahnya. "Jujur saya katakan sudah 15 tahun saya tidak bermain bola sepak dan seingat saya kali terakhir beraksi di padang adalah ketika berada di sekolah menengah dahulu. “Bila sambung belajar di Kuala Lumpur, ramai kawan-kawan bermain badminton jadi saya pun ikut bermain bersama mereka dan meninggalkan sukan bola sepak. "Tetapi dapat berlakon dalam OlaBola bukan sahaja membawa saya kembali ke padang bola ia juga mengingatkan kenangan manis bersama kawan-kawan ketika di sekolah dahulu," katanya kepada mStar Online. Barisan pelakon OlaBola bersama pengarahnya, Chiu Keng Guan. Dalam pada itu, Chee berkata, biarpun sudah lama tidak beraksi namun dengan latihan disediakan pihak produksi ia membantu mengasah kembali kemahiran beraksi di padang bola sepak. Ketika sesi latih untuk filem itu juga, Chee turut memberitahu dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan terpaksa melakukan imbasan sinaran x-ray kerana bimbang mengalami keretakan tulang. "Bila sudah lama tidak beraksi, kemahiran itu memang sudah berkarat tetapi mujur pengarah sediakan latihan khas buat kami semua selama dua bulan. "Namun pada hari ketiga latihan, saya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital. Mujur keadaan tidak serius," katanya. Filem Ola Bola yang mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow telah mendapat kutipan sebanyak RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan. Ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 28 Januari lalu dan menampilkan barisan pelakon lain seperti Bront Palarae, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.