suria

Amar Baharin Hormati Hubungannya Dengan Amyra Rosli Dijadikan Jenaka

PETALING JAYA: Pelakon Amar Baharin memberitahu dia menghormati setiap skrip yang ditulis biarpun menjadikan hubungan rapatnya dengan pelakon Amyra Rosli dijadikan bahan komedi dalam pementasan teater Zombie La La La.

Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 31, berkata, dia memahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis skrip berkenaan yang ingin mewujudkan satu elemen gurauan menerusi isu semasa dalam persembahan pentas tersebut.

"Saya seorang yang menghormati skrip dan tiada hak untuk ubah, jika mereka rasa dialog tentang bahawa saya bercinta dengan Amyra itu sesuatu yang boleh mewujudkan elemen komedi apa salahnya, saya reda sahaja.

"Saya faham penulis skrip teater ini ingin mewujudkan unsur komedi yang diketahui umum seperti hubungan rapat saya dan Amyra sering menjadi bahan berita," ujarnya ketika ditemui selepas pra tonton teater Zombie La La La di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.

Amar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dialog salah seorang pelakon teater Zombie La La La menyatakan bahawa Amyra Rosli sedang hangat bercinta dengannya.

Teater yang diterbitkan oleh CTRA Production itu diarahkan oleh A.Aris Kadir dan penulis skrip Siti Rohayah Attan.

Dalam pada itu, mengulas hubungan tersebut, Amar masih menganggap hubungan rapat tersebut belum lagi menjadi istimewa.

"Setakat ini memang tiada merancang menamatkan zaman bujang dalma masa terdekat, kalau ada jodoh adalah, saya hanya berserah," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang lakonan teater sebelum ini iaitu Tenggelamnya Kapan Van De Wijck yang menerima kritikan, Amar berkata ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba.

Katanya, apa yang penting ialah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan oleh pengarah teater tersebut.

Amar bersama Amy Mastura dan Hafreez Adam dalam pementasan teater Zombie La La La.

"Biasalah kita buat bagus pun orang kritik, inikan pula kalau buat tidak bagus. Bagi saya kita ambil kritikan tersebut daripada sudut positif sahaja.

"Kalau saya fikir banyak sangat sudut negatif semua kerja tidak akan berjalan. Apa yang penting pengarah puas hati dengan lakonan saya," ujarnya.

Amar bakal membawakan watak Kapten Cook dan bersama-sama sekumpulan zombie untuk mencari penawar mengubati wajah mereka yang hodoh.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Hafreez Adam, Janna Nick, Siti Saleha, Amy Mastura, Zulin Aziz, Rosnan Rahman dan Mei Fen.

Teater Zombie La La La akan dipersembahan dari 13 hingga 21 Februari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Amar Baharin, Amyra Rosli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain