suria

Pelakon Dua Generasi Jayakan 'Teater Muzikal Randai Cinduo Mato'

Remy Ishak (kanan) antara pelakon Randai Cinduo Mato. FOTO: BRIAN MOH
KUALA LUMPUR: Seramai 14 pelakon baharu dan lama bakal menjayakan pementasan teater tradisional Muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ketua Pengarah,  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata, pementasan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan warisan negara ini didedahkan kepada generasi muda.

"Pemantasan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang kaya dengan nilai seni dan moral.

"Randai merupakan kesenian tradisional yang terkenal dalam masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia dan berkembang di seluruh pelusuk alam Melayu," ujarnya.

Antara adegan dalam teater tradisional Muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Beliau berkata demikian pada sidang media teater Muzikal Randai Cindua Mato yang berlangsung di lambang Sari, Istana Budaya, pada Selasa.

Teater ini turut dibarisi pelakon terkenal seperti Remy Ishak, Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Azhan Rani, Vanidah Imran, Datuk Jalaluddi Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Sementara itu, Norliza berkata, pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kesesuaian watak yang ada dengan pelakon-pelakon berkenaan.

"Kita berbincang dan mencari pelakon-pelakon yang bersesuaian dengan watak-watak dalam naskhah ini.

"Antara pelakon yang dipilih adalah berbakat dan mempunyai nilai kormersial yang tinggi dan kita harap pelakon-pelakon ini dapat menarik penonton untuk datang menyaksikan pementasan ini," ujarnya.

Teater ini diarahkan oleh Lokman Ghani, manakala Dr Indra Utama bertindak sebagai koreografer muzikal.

Tiket berharga RM25, RM55 dan RM85 bolej didapati dengan melayari 
www.airasiaredtix.com atau di kaunter tiket box-office Istana Budaya.
Randai Cinduo Mato

Artikel Lain