suria

Raja Azmi Jatuh Cinta Kali Kedua Terhadap Suami

Raja Azmi dan Mohd Eddie sah bergelar suami isteri buat kali kedua pada malam Jumaat lalu.

AMPANG: Penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman mengakui jatuh cinta buat kali kedua terhadap suaminya, Mohd Eddie Ghazali selepas setahun mereka bercerai pada 2014.

Raja Azmi, 57, berkata, sikap lelaki berkenaan yang tidak putus-putus memujuknya untuk kembali bersama sebagai suami isteri membuatkan dia terbuka hati untuk menerima kembali Eddie sebagai suami.

"Jujurnya saya sendiri tidak menyangka akan kembali jatuh cinta dengan Eddie kerana selepas bercerai saya lebih selesa berkawan dengannya.

"Tetapi semenjak berpisah dia tidak pernah jemu memujuk saya untuk kembali bersama dan saya sangat terharu dengan keikhlasannya biarpun saya tidak pernah memberikan harapan kepadanya," katanya.

Raja Azmi dan Mohd Eddie, 48, kembali sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz pada malam Jumaat lalu pada majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana di Surau Taman Sering Ukay, Ukay Perdana di sini.

Ia adalah pernikahan kali kedua pasangan selepas pasangan berkenaan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Raja Azmi dan Mohd Eddie, 48, berkahwin buat kali pertama pada 13 Oktober 2013.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, sepanjang bercerai dia mula mengenali Eddie dengan lebih mendalam selain mendapati lelaki itu mempunyai banyak sifat positif.

Tambahnya lagi, dia juga mula nampak sikap negatifnya dan menganggap perceraian mereka sebelum ini sebagai satu hikmah yang memberi pengajaran kepada mereka berdua.

"Saya lebih mengenali sisi positif Eddie dan sikap negatif saya selepas kami berdua bercerai. Ia ada pengajaran tersendiri buat kami berdua.

"Sebelum berkahwin buat kali kedua ini kami berjanji untuk mengubah sikap dan lebih rukun dalam melayari bahtera perkahwinan," ujarnya.

Kata Raja Azmi lagi, dia bersyukur kepada Allah diberi peluang kedua untuk menjadi isteri lebih baik kepada suaminya.

Malah katanya, dia bersyukur apabila anak-anak mereka merestui keputusan tersebut malah tumpang gembira dengan perkahwinan kali kedua itu.

Raja Azmi, Mohd Eddie Ghazali

Artikel Lain