PETALING JAYA: Pelakon Atikah Suhaime percaya interaksi bersama peminat menerusi laman sosial sebagai salah satu cara menghargai sokongan mereka terhadap kerjaya seseorang artis. Dengan cara itu juga kata Atikah, 26, dia dapat mendekatkan lagi dirinya bersama peminat kerana mereka adalah tulang belakang kepada karier seninya. "Saya ada peminat yang terbaik kerana mereka sentiasa memberi sokongan dan amat penting kepada saya untuk memastikan mereka sentiasa rasa dihargai. "Kebiasaannya saya cuba meluangkan masa untuk mengemaskini status dan memuatnaik gambar selain membalas komen mereka," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016), Atikah berkata, ia adalah berkat sokongan peminat terhadap kariernya. Jelas Atikah, biarpun namanya pernah terpalit dengan beberapa kontroversi sebelum ini namun dia tidak pernah kehilangan sokongan mereka yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepadanya. "Saya terkejut apabila nama saya tersenarai sebagai calon APO2016 dan menganggap ia sebagai rezeki peminat yang menyokong saya selama ini," katanya. Atikah mempunyai pengikut seramai 430,000 di Instagram. Bercakap mengenai APO2016, Atikah berkata, dia tertarik dengan penganjuran anugerah berkenaan yang bukan sahaja memfokuskan kepada arits tetapi turut memberi pengiktirafan kepada bintang sukan, ahli perniagaan dan selebriti media sosial. "Penganjuran APO2016 bertepatan dengan perubahan teknologi yang kini lebih kepada digital dan paling menarik ia bukan sahaja tertumpu kepada selebriti sahaja tetapi nama-nama besar dalam bidang lain," katanya. Acara terbitan Kumpulan Media Star Berhad itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital. APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup. Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook http://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.