SHAH ALAM: Juara Mentor Milenia Fareez menganggap kemenangannya pada pentas akhir pertandingan itu malam Ahad adalah berdasarkan bakat yang dimiliki tanpa menggunakan sebarang pengaruh bapanya iaitu pelakon Fauzi Nawawi. Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan, 18, berkata, dia tidak mengambil kesempatan terhadap mana-mana pihak untuk berjuang dalam pertandingan tersebut dengan tiket sebgaai anak seorang selebriti. "Kalau suara saya tak bagus dan tiada bakat saya tetap tidak akan sampai tahap ini walaupun saya anak selebriti. "Ketika memasuk pertandingan ini saya seperti orang awam lain yang menunggu giliran dan mentor saya Hazama tidak tahu pun saya ini anak Fauzi Nawawi ketika membuat pilihan protoge," ujarnya kepada mStar Online. Fauzi turut memberi sokongan kepada Fareez pada malam akhir Mentor Milenia. Fareez merupakan anak kedua pelakon berkenaan pada perkahwinan pertama. Dia diumumkan sebagai juara program realiti Mentor Milenia yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, Ahad. Kemenangan itu sekali gus melayakkan Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan bersama mentornya, Hazama membawa pulang trofi dan berkongsi wang tunai RM100,000. Mengulas tentang kemenangan tersebut, Fareez berkata, dia mengakui tidak menjangka dapat menewaskan dua peserta lain yang turut bertanding malam itu. "Kemenangan ini seperti mimpi dan saya masih tidak menyangka dipilih menjuarainya. Saya dengan mentor hanya sasarkan untuk dapat tempat kedua sahaja. "Kedua-dua pesaing saya iaitu Qody dan Wanie juga mempunyai suara yang hebat dan sering memenangi program mingguan. Namun saya bersyukur dna berterima kasih kepada keluarga dan penyokong saya," ujarnya. Fareez berduet dengan Hazama dengan lagu Drama King dan Hilang Naluri. Sementara itu, ditanya tentang wang kemenangan tersebut, Fareez berkata, dia berhasrat membawa keluarga menunaikan ibadah umrah sempena hari jadinya pada 6 Mei ini. Sementara itu, juri profesional, Azmeer memberitahu pemilihan Fareez sebagai juara adalah disebabkan suara romantiknya yang unik dan mempunyai pakej sebagai seorang penyanyi. Katanya, Hazama juga bijak dalam pemilihan lagu yang bersesuaian dengan suara remaja tersebut sehingga mengurangkan kesalahan ketika menyanyi. "Saya puji Hazama kerana bijak memilih lagu yang sesuai dengan suara Fareez sehingga dia kurang kedengaran sumbang berbanding peserta lain. "Selain itu tone suara Fareez juga berbeza dan jarang kita dengar pada penyanyi-penyanyi yang ada dalam pasaran industri. Dia boleh pergi jauh lagi jika mendapat lagu-lagu yang sesuai dengan suaranya," ujar Azmeer. Tambah Azmeer, Fareez mendapat undian tertinggi berbanding peserta yang menduduki tempat kedua iaitu Qody.