suria

Calon APO2016: 'Growing Up Sucks' Nyanyian SonaOne Juarai Carta iTunes

SonaOne mendapat dua pencalonan awal menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016).



PETALING JAYA: Penyanyi rap SonaOne tidak menyangka album sulungnya berjudul Growing Up Sucks berjaya menduduki tangga pertama carta iTunes Malaysia hanya selepas beberapa hari ia dilancarkan pada 20 Februari lalu.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafae Michel Lozach, 28, berkata, strategi hanya melancarkan album berkenaan menerusi platform digital ternyata tepat memandangkan penjualan secara fizikal semakin perlahan.

"Mendapat kedudukan tempat pertama adalah sesuatu yang luar biasa buat saya dan ia tidak dapat dilakukan tanpa sokongan peminat.

"Ia juga menunjukkan pembeli pada hari ini sudah bersedia beralih kepada digital kerana ia lebih mudah dan cepat," katanya kepada mStar Online.

Tiga single daripada album tersebut iaitu No More, Hakeleh dan Firefly turut berjaya menduduki tempat pertama menerusi carta single iTunes sebelum ini.

Dalam pada itu, SonaOne berkata, peralihan dunia muzik dari album fizikal kepada digital bukan sesuatu yang negatif sebaliknya ia menunjukkan perkembangan industri muzik itu secara keseluruhannya.

SonaOne teruja apabila album pertamanya berjaya menjuarai carta album di iTunes.

Katanya lagi, pada zaman teknologi pada hari ini artis sepertinya perlu mengikut peredaran zaman agar dapat terus kekal relevan.

"Saya sendiri bukan datang dari zaman digital tetapi jika tidak ikut dengan trend terkini kemungkinan saya akan tertinggal di belakang.

"Apa paling penting sebagai artis saya mesti menghasilkan karya berkualiti dan dengan kegilaan media sosial pada hari ini ia lebih banyak membantu saya mempromosikan kerja dan lagu-lagu saya kepada peminat," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonannya menerusi Anugerah Pilihan Online (APO2016), SonaOne berkata, dua pencalonan awal yang diterimanya adalah hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong kariernya sebelum ini.

Dia dipilih dalam kategori Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.

Kata SonaOne lagi, kaedah pengundian APO2016 menerusi platform digital dilihat bertepatan dengan keadaan memandangkan peminat kini lebih banyak tertumpu di media sosial.

"Seperti saya sendiri memang aktif menggunakan media sosial dan saya mempunyai peminat yang terbaik dan mereka sering memberi reaksi, pendapat dan sokongan menerusi status atau gambar yang dimuatnaik.

"Dengan teknik pengundian secara online dan media sosial ia banyak kelebihan dan memudahkan kami sebagai artis untuk membuat promosi terus kepada peminat," ujarnya.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu  http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

SonaOne, Growing Up Sucks

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan