PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mendapatkan tip dan tunjuk ajar daripada bekas personaliti TV3, Ras Adiba Radzi sebagai langkah persediaan mengacarakan program terbitan TV Al-Hijrah iaitu Into Taqwa With Mizz Nina. Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 36, berkata, dia berbesar hati berpeluang menimba ilmu dengan pengacara berpengalaman itu dan menyifatkan Ras Adiba sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu selain banyak memberi nasihat berguna kepadanya. "Saya amat mengagumi kredibiliti Ras Adiba dalam dunia pengacaraan dan sebab itu saya memilihnya untuk membantu saya bersedia mengacarakan program berkenaan. "Sebagai seorang yang pernah meminatinya saya amat berbesar hati dapat menimba pelbagai ilmu dalam bidang pengacaraan dengannya dan beliau tidak lokek ilmu. "Alhamdulillah, tip dan tunjuk ajar diberikan banyak membantu untuk saya lebih santai dan rileks apabila berada dihadapan lensa kamera," katanya kepada mStar Online. Mizz Nina ditemui pada majlis memperkenalkan program Into Taqwa With Mizz Nina di sini, Rabu. Mizz Nina dan suaminya, Noh Salleh. Ia merupakan sebuah program bual bicara berbahasa Inggeris yang membincangkan isu-isu berhubung kekeluargaan, wanita, perkahwinan dan hubungan dengan Allah. Program 13 episod itu bakal bersiaran pada 20 Mac ini, setiap Ahad pada pukul 2 petang. Dalam pada itu, Mizz Nina berkata, dia pada awalnya berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran sebagai hos program berkenaan kerana bimbang tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Bagaimanapun katanya, dia teruja untuk menyahut cabaran tersebut memandangkan program berkenaan menampilkan konsep dan pendekatan berbeza. "Saya ada sedikit pengalaman dalam bidang pengacaraan tetapi apabila ditawarkan sebagai hos program ini saya terfikir sama ada mampu untuk melaksanakannya. "Bukan apa sebelum ini saya yang ditemubual wartawan tetapi menerusi Into Taqwa With Mizz Nina sebaliknya di mana saya akan menemubual ramai tokoh-tokoh Islam dan mendekati mereka secara lebih dekat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Mizz Nina berkata, seperti mana kenyataannya sebelum ini dia tidal berhasrat untuk kembali sebagai penyanyi. Sebaliknya kata Mizz Nina, dia memberi ruang kepada suaminya, Noh Salleh untuk terus berkarya sebagai komposer dan penyanyi. Selain melibatkan diri dalam kerja amal saya juga aktif melakukan senaman yoga di rumah selain meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga," ujarnya.