PETALING JAYA: Pelakon yang pernah popular menerusi sitkom Rumah Kedai iaitu Kartina Aziz tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan biarpun usianya kini sudah mencecah 61 tahun. Kartina berkata, lakonan bukan sahaja kariernya malah ia sudah sebati dengan dirinya dan akan terus berlakon selagi masih ada tawaran. "Sejak akhir-akhir ini saya mungkin dilihat tidak banyak muncul dalam drama atau pun filem tetapi saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan. "Saya kagum dengan Allahyarham Mariani Ismail yang sehingga akhir hayatnya masih berlakon. Saya ambil semangat itu dan akan terus berlakon selagi ada rezeki," katanya kepada mStar Online. Kartina ditemui pada majlis pra-tonton filem Kipidap! Selamatkan Hari Jadi di sini pada Selasa. Selain Kartina, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Atikah Suhaime, Hafreez Adam dan Vicha Syawho. Ia bakal menemui penonton di pawagam pada Khamis (hari ini). Dalam pada itu, Kartina berkata, dia bersyukur pada usianya sekarang dia masih dibanjiri dengan pelbagai tawaran lakonan namun mengakui dia bersikap memilih. Ini kerana dia mahu lakonannya memberi impak dan kesan positif kepada penonton dan bukannya sekadar hiburan semata-mata. "Saya lebih tertumpu kepada tawaran drama atau filem yang berkonsepkan kekeluargaan dan sekiranya watak diberikan sebagai ibu, saya lihat dahulu karakter sama ada ia sesuai atau pun tidak. "Tetapi jika ada yang beri watak untuk saya jadi hantu sebagai contoh memang saya tidak ambil kerana bimbang akan kesannya kepada penonton terutamanya kanak-kanak. "Pada tahap ini saya tidak mahu mengambil semua tawaran yang ada tanpa memikirkan kesannya namun Alhamdulillah setakat ini kebanyakkan watak diberikan bersesuaian dengan kehendak saya," ujarnya.