PETALING JAYA: Pengasas produk D'Herbs iaitu Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menjelaskan pengacara Roslan Shah hanya menjalankan tugas sebagai model dan bukannya duta produk berkenaan. Aliff, 28, berkata, terdapat salah faham yang berlaku sehingga membuatkan ada pihak keliru tentang status penyanyi itu kononnya dilantik menjadi duta produk kosmetik keluaran syarikat tersebut. "Buat masa ini kami hanya mempunyai satu duta produk sahaja iaitu penyanyi Amelina untuk produk pewarna rambut. Roslan Shah "Mungkin terdapat salah faham di mana kontrak kami bersama Roslan Shah adalah sebagai model dan pengacara majlis sahaja bukan sebagai jurucakap," ujarnya kepada mStar Online. Aliff berkata demikian ketika ditemui pada majlis perkenalkan duta perwarna rambut D'Herbs iaitu Amelina, di Hotel One World, di sini pada Selasa. Beliau diminta mengulas tentang laporan media bulan lalu yang mengatakan pengacara Roslan Shah dibayar ratusan ribu ringgit sebagai duta produk D'Herbs. Sebelum ini Roslan Shah pernah memuat naik gambarnya di laman sosial bersama Aliff kerana mahu berkongsi kegembiraan selepas dilantik menjadi duta produk jenama itu. SILA KLIK: Berkat Jaga Ibu, Roslan Shah Terima Bayaran Lumayan D'Herbs Bagaimanapun, Aliff berkata, dia menghormati pengacara itu yang sering memberi publisiti kepada produk keluaran syarikatnya. "Dia seorang pengacara yang bagus dan kami suka bekerja dengan dia, selain itu dia juga banyak membantu memperomosi produk kami di media. "Insya-Allah mana tahu ada rezeki dia satu hari nanti menjadi duta syarikat kami," ujarnya. Sementara itu, Aliff berkata, ini merupakan kali pertama syarikatnya memilih artis sebagai jurucakap produk. Katanya, sebelum ini segala promosi dan tugas sebagai jurucakap dilakukannya secara sendirian selain mengambil beberapa artis hanya sebagai model sahaja. "Selalu saya sahaja yang bertindak sebagai jurucakap. Ada beberapa artis saya guna sebagai model sahaja. "Cuma kali ini saya rasa ingin cuba aura artis pula," ujarnya.