suria

Amelina Seorang Penghibur, Tidak Pentingkan Populariti Lagu

Amelina dilantik sebagai duta produk D'Herbs. Foto LOW BOON TAT

PETALING JAYA: Penyanyi Amelina berkata, pihak yang mempertikaikan populariti lagu baharunya iaitu Cinta Itu Seksi seharusnya dapat membezakan peranan antara seorang penyanyi atau penghibur.

Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 42, berkata, dia yang melihat dirinya sebagai seorang penghibur tidak terlalu mementingkan populariti sesebuah lagu.

"Orang yang sering tanya tentang produk saya itu kerana mereka tidak faham, saya meletakkan diri saya sebagai seorang penghibur bukan hanya seorang penyanyi.

"Sebagai penghibur apa yang penting ialah saya ada produk dan lagu baharu.

"Penyanyi perlu mempunyai suara yang sedap dan lagu yang bagus, tapi bagi saya pula, peminat lebih gemar melihat saya ketika membuat persembahan berbanding mendengar lagu saya," ujarnya.

Amelina diminta mengulas tanggapan segelintir pihak yang mempertikaikan lagu baharunya berjudul Cinta Harus Seksi yang masih tidak mendapat perhatian.


Amelina (tengah) bersama pengasas produk D'herbs iaitu Aliff Syukri dan isterinya Mur Shahida Mohd Rashid.

Dia ditemui pada majlis memperkenalkan duta produk D'Herbs yang diadakan di Hotel One World, di sini pada Selasa.

Tambah Amelina, dia lebih mementingkan kualiti persembahannya di pentas berbanding memikirkan populariti lagu tersebut.

"Ia terpulang kepada bakat, ada orang dikurniakan bakat suara yang mana orang dengar lagu dia sebab nak dengar suara sahaja," ujarnya.

Semantara itu, Amelina yang dilantik sebagai duta pewarna rambut D'Herbs memberitahu dia sememangnya seorang yang mementingkan penjagaan rambut.

Katanya, sejak kembali semula ke dunia hiburan, dia sentiasa memastikan penampilan rambutnya berubah dan segar.

"Saya tidak sangka ditawarkan menjadi produk pewarna rambut ini, ia bermakna ada pihak yang sentiasa memerhatikan penampilan kita sebagai artis.

"Saya pula memang fanatik sedikit tentang rambut dan sejak dari dulu memang imejnya berubah-ubah supaya orang tidak bosan," ujarnya.

Dalam pada itu, pengasas produk D'herbs iaitu Datuk Aliff Syukri berkata, pemilihan Amelina dilihat berdasarkan penampilan penyanyi itu yang sesuai dengan produk berkenaan.

"Kami pilih Amelina kerana melihat aura dan penampilannya yang sentiasa segar dan mempunyai rambut yang sihat.

"Dia juga pandai menjaga penampilannya untuk sentiasa nampak bergaya sejak kembali semula aktif di dunia hiburan," ujarnya.

Amelina

Artikel Lain