PETALING JAYA:Penyanyi Indah Ruhaila berharap dapat mengembangkan karier seninya ke Jepun selepas tampil dengan single duet bersama artis dari negara itu, Shunpei Nakagawa. Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 29, berkata, pihak syarikat rakaman Life Records mempunyai perancangan untuk mengadakan promosi lagu duet mereka iaitu Aishiteru Selamanya di negara berkenaan dalam usaha mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa. "Insya-Allah jika segalanya berjalan lancar dan mengikut perancangan memang pihak Life Records ada cadangan untuk mengadakan promosi lagu berkenaan di Jepun. Saya harap akan dapat peluang tersebut kerana ia memang menjadi impian saya untuk mengembangkan karier nyanyian di peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online. Indah ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan di Qliq Hotel, Damansara di sini, Selasa. Shunpei, 20, yang juga juara program realiti Door to Asia 2014 turut hadir pada majlis berkenaan. Aishiteru Selamanya adalah lagu ciptaan sepenuhnya oleh DJ Fuzz. Indah dan Shunpei Nakagawa membuat persembahan dengan lagu duet mereka iaitu Aishiteru Selamanya. Dalam pada itu, Indah berkata, dia kagum dengan Shunpei yang bukan sahaja berbakat malah mampu menyanyikan lirik lagu itu dalam bahasa Malaysia dengan baik. Jelasnya, biarpun mereka merakamkan vokal untuk lagu berkenaan secara berasingan namun Shunpei berjaya memberikan 'rasa' kepada karya itu. "Dia masih muda tetapi bakatnya cukup besar dan saya kagum dengan kebolehannya menyanyikan lirik dalam bahasa Malaysia dengan baik biarpun tidak banyak," ujarnya. Bercakap lanjut mengenai Aishiteru Selamanya, Indah berkata, idea asal duet berkenaan daripada pihak Life Records dan syarikat pengurusannya, Astro Talents. Sementara itu, Shunpei berkata, dia juga tidak menyangka mendapat peluang untuk mengembangkan bakatnya di Malaysia dan berharap lagu duet mereka dapat diterima peminat negara ini. Kata Shunpei lagi, dia berharap selepas ini akan mendapat lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi tempatan lain. "Selain Indah, saya suka Mark Adam dan berharap berpeluang bekerjasama dengan artis lain pada masa akan datang. "Saya sukakan bahasa Malaysia kerana ia istimewa dan senang dipelajari malah untuk lagu Aishiteru Selamanya saya hanya ambil masa selama beberapa hari sahaja untuk belajar," ujarnya yang gemarkan muzik R&B. Tambah Shunpei, untuk projek akan datang dia merancang merakamkan lagu solo bersama DJ Fuzz. Ditanya mengenai Indah, Shunpei berkata, wanita berkenaan mempunyai suara yang merdu dan bertuah dapat bekerjasama dengannya. "Kolaborasi ini juga dapat merapatkan hubungan kedua-dua negara selain Indah seorang penyanyi besar. "Saya yakin jika Indah mencuba nasib di Jepun dia mempunyai peluang cerah kerana vokalnya yang cukup mantap," katanya.