PETALING JAYA: Suria FM menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM40,000 kepada pendengar stesen radio itu bersempena peraduan Detektif Muzik yang sudah pun bermula dari 21 Mac lalu sehingga 29 April depan. Menerusi kuiz berkenaan, para pendengar dikehendaki menyelesaikan misi untuk meneka nama lagu dan penyanyi untuk klip yang diberikan hanya dalam masa 10 saat. Setiap jawapan yang betul akan membolehkan pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250 dan produk eksklusif Dara Anggun bernilai RM100. Jika jawapan diberikan itu salah, wang berkenaan akan digandakan ke segmen seterusnya. Pendengar yang ingin menyertai pertandingan berkenaan perlu mendengar isyarat panggilan Detektif Muzik diumumkan pada segmen Ceria Pagi bersama Adibah Noor dan Baki Zainal (5 pagi – 10 pagi), segmen Ceria Suria bersama Brian Chen (10 pagi – 1 petang), segmen R&R Suria bersama Bob Ringgo (1 petang – 4 petang) dan juga segmen Ceria Petang bersama Linda Onn (4 petang – 8 malam). Menerusi segmen itu, pendengar perlu menjawab misi yang diberikan oleh penyampai Suria FM. Misi utama yang harus dilakukan adalah menjadi pemanggil yang pertama di talian 03-77242115 selepas isyarat Detektif Muzik ke udara dan mereka akan diberikan sedutan klip lagu yang telah diubah bahasanya. Wang tambahan hampir atau lebih RM1,000 akan turut diberikan pada waktu Bonus dan pendengar boleh mendapatkan klu-klu klip lagu Detektif Muzik di laman sosial Instagram SuriaFMMalaysia.