PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn mengakui hidupnya lebih tenang tanpa sebarang publisiti murahan dan cerita-cerita sensasi seperti mana yang pernah dilaluinya sebelum berumahtangga. Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 39, berkata walaupun ketika ini dia jarang mendapat publisiti media, namun ia bukan satu masalah kerana komitmennya semakin bertambah selepas berkahwin. “Jujur, saya gembira dengan kehidupan sekarang dan lebih selesa melakukan rutin harian saya sebagai seorang penyampai radio, pengusaha untuk empat buah restoran dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri daripada bercerita perkara-perkara yang tiada kepentingan untuk dikongsi,” katanya kepada mStar Online. Ditanya adakah hubungannya semakin dingin dengan pihak media menyebabkan dia jarang mendapat publisiti Linda menafikan perkara itu sebaliknya memuji golongan berkenaan yang banyak menyokong kerjayanya selama ini. Linda Onn. “Oh, cerita itu tidak benar. Media selamanya tetap menjadi rakan baik yang sangat menyokong kerjaya seni saya. Mana mungkin hubungan kami dingin. "Benar saya kurang mendapat publisiti dan perkara itu langsung tidak mendatangkan masalah kepada saya kerana sejak berkahwin, komitmen saya juga semakin bertambah,” katanya. Mengulas lanjut perkara itu, Linda bekata, sepanjang hampir 18 tahun berada dalam industri hiburan, dia sudah melalui pelbagai gosip dan cerita-cerita sensasi yang secara tidak langsung mematangkan dirinya. Justeru, tiba masanya untuk dia lebih bersikap profesional dan matang dalam mencari arah tuju hidup. Linda juga berkata dia begitu gemarkan cabaran dan amat berharap diberi peluang oleh mana-mana produksi untuk dia kembali ke dunia pengacaraan televisyen menerusi program-program berbentuk motivasi dan kemasyarakatan. Ini kerana menerusi program-program sebegitulah dia dapat menyalurkan input yang positif kepada masyarakat dan perkara ini sekali gus mampu memberi kepuasan yang maksimum kepada dirinya. Mengenai perkembangan peribadi, Linda yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Ungku Azhar Ungku Muhammad Maznan, 37, tidak banyak berselindung saat ditanya soal kehadiran cahaya mata. “Saya tahu ramai yang menunggu khabar gembira itu. Di sini saya lebih senang menyerahkan semuanya kepada takdir kerana itu semua adalah urusan-Nya. "Jika ditakdirkan ada, saya dan suami terima dengan lapang dada. Doa-doakanlah, katanya.