suria

Aepul (Drama Band) Sebak Sambut Bayi Sulung

Aepul berkongsi gambar anaknya yang diberi nama Nur Saffiya Alisha. Foto: Instagram Aepul

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Drama Band iaitu Aepul Roza berkata perasaan sebak dan bersyukur menyelubungi dirinya saat menyambut kelahiran anak sulungnya pada petang Isnin.

Aepul atau nama sebenarnya Noorsyaiful Md Zalaludin, 28, berkata, reaksi spontan itu terbit sejurus dia dan isterinya iaitu pelakon dan penyanyi Leez Rosli, 29, mendengar tangisan bayi perempuan mereka.

"Saya menemani Leez bersama semasa bersalin tadi. Bila pertama kali dengar suara anak sendiri, bergenang air mata kami jadinya.

"Betullah orang cakap perasaan itu (jadi bapa) tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya terharu bercampur gembira sampaikan menangis," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Leez atau nama penuhnya Rosliza Rosli, 29, selamat melahirkan bayi seberat 3.5 kilogram bernama Nur Saffiya Alisha secara pembedahan pada pukul 5.26 petang Isnin di Hospital Islam Az-Zahrah, Bangi, dekat sini.

Aepul bersama isterinya iaitu Leez.

Pasangan itu berkahwin pada 27 Disember 2014 di Taman Melati, Kuala Lumpur dekat sini.

Terdahulu, Leez pernah mengalami keguguran sebanyak sekali pada tahun lalu.

Menyambung perbualan, Aepul berkata, perkara yang lebih menggembirakan mereka kerana penantian untuk mendapatkan zuriat termakbul dengan kelahiran itu.

"Sudah setahun lima bulan kami berkahwin dan sudah tentu semua pasangan mahu zuriat sendiri.

"Walaupun Leez pernah mengalami keguguran sekali sebelum ini tapi alhamdulillah akhirnya kami mendapat zuriat pada kali ini," katanya.

Aepul berkata, pada waktu ini keadaan Leez masih lemah kerana pembedahan dan memerlukan rehat serta pemantauan oleh hospital sebelum dibenarkan pulang.

"Buat masa ini, Leez akan berehat dan dipantau di hospital dulu selama tiga hari sebab bayi dilahirkan secara pembedahan.

"InsyaAllah kalau semuanya okey selepas itu dia sudah boleh pulang dan berpantang di rumah kami saja," katanya.

Aepul

Artikel Lain