suria

'Knock Knock' Antara Lagu Popular 'Kaki Karok' Di Red Box

Lagu Knock Knock nyanyian Elizabeth Tan antara 10 lagu terpopular di pusat karaoke Red Box sepanjang tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Lagu Knock Knock yang dipopularkan oleh Elizabeth Tan muncul antara 10 lagu paling popular di kalangan pengunjung pusat karaoke Red Box sepanjang tahun 2015.

Penghargaan tersebut diberi menerusi Anugerah Lagu Karaoke Popular 2015 yang berlangsung sempena Malam Bersama Media di pusat hiburan itu di Pavilion di sini, Isnin.

Ketua Pegawai Operasi, kumpulan Red Box Karaoke, Michael Yong berkata, senarai pemenang menerusi anugerah berkenaan dibuat oleh pengunjung yang sentiasa memilih lagu-lagu berkenaan untuk berkaraoke.

Malah katanya pemberian anugerah berkenaan adalah sebagai menyuntik semangat artis dan syarikat rakaman untuk terus menghasilkan lagu-lagu terbaik dan digemari peminat.

Antara artis dan wakil syarikat rakaman menerima trofi kemenangan mereka. 

"Seperti tahun lalu majlis bersama media tidak akan lengkap dengan penyampaian Anugerah Lagu Karaoke Popular Red Box 2015 yang terdiri daripada 10 lagu karaoke berbahasa Melayu dan Inggeris yang paling diminati sepanjang tahun lalu.

“Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan untuk lagu-lagu yang mengungguli carta Red Box Karaoke sepanjang tahun lalu yang berjaya memenangi hati peminat," katanya.

Selain lagu tersebut, sembilan lagu Melayu popular yang tersenarai adalah Hanya Namamu nyanyian kumpulan Caliph Buskers, Terima Kasih Cinta (Tasha Manshahar), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Hantu Atau Buaya (Nanasheme) dan Biarkanlah (Drama Band).

Manakala Sakitnya Tuh Di Sini (Cita Citata), Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Mewangi (Akim & The Majistret) dan Relakan Jiwa (Hazama) turut tersenarai.

Petugas media bersama hadiah cabutan bertuah.

Sementara itu, 10 buah lagu Inggeris yang tersenarai adalah Flashlight nyanyian Jessy J, Marvin Gaye (Charlie Puth ft. Meghan Trainor), Hello (Adele), Love Me Like You Do (Ellie Goulding) dan See You Again (Wiz Khalifa ft. Charlie Puth).

Lagu Drag Me Down (One Direction), Photograph (Ed Sheeran), Sugar (Maroon 5), Like I'm Gonna Lose You (Meghan Trainor ft. John Legend) dan Uptown Funk (Mark Ronson ft. Bruno Mars) turut menjadi kegemaran pengunjung.

Dalam pada itu, Michael turut melancarkan kempen amal iaitu Help For Kids yang bertujuan untuk mengumpul dana untuk tabung kebajikan Faithmen Movement dalam membela nasib kanak-kanak terbiar di seluruh Malaysia tanpa mengira status agama, bangsa.

Jelas Michael, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama pengasas I Am Faithmen Movement, Faizal Tahir, Pengarah Urusan Red Stiletto Camper, Mohd Fairul Rizal dan Pengasas Aura White Beauty, Nur Furyna Azmir.



"Melalui beg amal “Help For Kids” yang sudahpun dijual di semua rangkaian Red Box dan Green Box, RM10 akan didermakan kepada dana terbabit," katanya.

Dalam perkembangan sama, Red Box turut mengadakan sesi cabutan bertuah sebagai menghargai pihak media yang banyak menyokong pusat karaoke berkenaan dari aspek publisiti.

Antara artis yang turut hadir ialah Bunkface, Caliph Buskers, Faizal Tahir dan Tasha Mansahar.
Red Box, Knock Knock, Elizabeth Tan

Artikel Berikut

Artikel Lain