suria

Shera Aiyob Pujuk Zahiril Adzim Terima Tawaran Pengacara 'Masam-Masam Manis'

Zahiril Adzim dan isterinya Shera Aiyob mengendalikan program Masam-Masam Manis. Foto BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Shera Aiyob terpaksa mengambil masa memujuk suaminya aktor Zahiril Adzim untuk menjadi pengacara bersama dalam program bual bicara Masam-Masam Manis terbitan TV Alhijrah. 

Shera, 30, berkata, pada awalnya Zahiril agak keberatan dan tidak berkeyakinan untuk mengalas tanggungjawab sebagai pengacara rancangan berkenaan. 

"Masa dapat tawaran untuk hadir uji bakat dia sudah beritahu saya bahawa tidak berkeyakinan untuk bercakap dihadapan kamera sebagai pengacara. 

"Namun saya pujuk dan yakinkan dia untuk buat bersama-sama serta bagi kata-kata semangat supaya dia setuju," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Sabtu. 

Shera dan Zahiril ditemui pada sesi fotografi sebelum memulakan rakaman program Masam-Masam Manis di Stesen Televisyen Al Hijrah, di Pusat Kesenian Islam, di sini.

Pasangan suami-isteri ini akan mengendalikan program 'Masam-Masam Manis'.

Pasangan ini merupakan pengacara baharu bagi musim ketiga program berkenaan yang bermula 17 Mac lalu. 

Shera berkata, program ini merupakan rancangan bual bicara selepas empat tahun tidak mengacara. 

"Saya sudah lama sebenarnya tinggalkan bidang ini kali terakhir empat tahun lalu dengan sebuah stesen televisyen swasta. 

"Episod pertama agak kekok juga untuk mula semula, namun lama kelamaan kembali dapat rentak semula. 

Sementara itu, Zahiril berkata, program ini merupakan penampilan pertamanya bertindak sebagai pengacara.

Zahiril mengakui bidang pengacaraan adalah cabaran baharu buatnya. 

Katanya, dia menerima tawaran tersebut berikutan bakal mengacarakan rancangan tersebut bersama isterinya sendiri Shera. 

"Pada mulanya saya rasa macam perkara mustahil untuk terima kerana saya bukan seorang yang suka bercakap, ini pula program bual bicara yang perlu pantas untuk berinteraksi. 

"Namun, setalah diberi kata-kata semangat oleh Shera dan dia berjanji untuk ajar saya maka saya terima. Kalau isteri senang nak bertanya benda-benda kecil," ujarnya. 

Tambah Zahiril, pada episod pertama rakaman, dia akui agak gementar dan gugup untuk berinteraksi dengan kamera dan tetamu undangan. 

Bagaimanapun, selepas beberapa kali melihat isterinya, dia mula belajar meniru apa yang Shera lakukan.


Shiera banyak memberi semangat kepada suaminya. 

"Mula-mula tidak tahu nak cakap apa kerana saya seorang yang suka mendengar orang cakap dan kadang-kadang terleka. 

"Namun selepas beberapa episod saya tengok sahaja Shera buat pembukaan macam mana dan saya tiru. Biasalah pelakon memang pandai meniru," ujarnya. 

Program Masam-Masam Manis terbitan TV AlHijrah bersiaran selama 13 episod setiap Khamis pukul 2.05 petang. 
Shera Aiyob, Zahiril Adzim

Artikel Lain