SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Isnin mensabitkan isteri kepada pelakon Ezany Nizariff iaitu Lizda Nuryanti Abidin, 34, sebagai nusyuz. Hakim Syarie, Mohd Azlan Mohd Azhar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan nusyuz (perintah kembli taat) di bawah Seksyen 61 (3)(b)(1)(i) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang dibuat Ezany selaku plaintif terhadap isterinya itu pada 22 Julai 2014. Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan diberikan Ezany sepanjang kes berlangsung berhubung dakwaan Lizda keluar dari rumah tanpa kebenarannya selain berlaku curang terhadap plaintif. Mohd Azlan memberitahu mahkamah biarpun keputusan itu dibaca secara sebelah pihak namun ia perlu diteruskan memandangkan defendan gagal menghadirkan diri dan memberi kerjasama sepanjang kes berlangsung. Beliau ketika membaca keputusan itu turut memerintahkan Lizda tidak berhak untuk menerima sebarang nafkah daripada Ezany berkuatkuasa daripada hari ini (Isnin) sehingga wanita berkenaan kembali taat. SILA KLIK: Isteri Dakwa Difitnah Suami, Sikap Sebenar Ezany Nizariff Didedah Terdahulu, Lizda pada 17 Julai 2014 memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Ezany namun mahkamah membenarkan permohonan pelakon itu untuk menolak permohonan tersebut. Lizda Nuryanti Abidin. Ezany diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan sepanjang kes itu berlangsung. Sementara itu, Ezany ketika ditemui berkata, dia bersyukur keputusan itu memihak kepadanya selain tidak berhasrat untuk kembali bersama dengan isterinya itu. Kata Ezany dia akan meneruskan perceraian dengan Lizda namun ingin berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu. "Peluang untuk dia (Lizda) mempertahankan diri atas permohonan yang saya buat tidak digunakan sebaik-baiknya sebaliknya menghilangkan diri dan enggan memberikan kerjasama. "Saya lega dengan keputusan dibuat mahkamah dan ia satu kemenangan buat saya," katanya. Pergolakan rumah tangga pasangan berkenaan tercetus selepas Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @Zohri Mohd Nizariff, 43, mengakui isterinya minta diceraikan sebelum dia membuat laporan polis berhubung dakwaan wanita berkenaan dilarikan oleh seorang lelaki dikenali pada Julai 2014. Ezany ketika itu memberitahu dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang selepas isterinya tidak pulang ke rumah selama tiga hari. Lizda dalam satu kenyataan kepada mStar Online pada 29 Disember tahun lalu mendakwa semua cerita mengatakan dirinya curang dan durhaka hanyalah rekaan suaminya itu. Katanya lebih setahun dia menanggung malu diaibkan suami sendiri kononnya dia lari dari rumah kerana mengikut lelaki lain dan tergamak meninggalkan anak-anak namun cerita itu adalah bohong semata-mata. Malah ujar Lizda, sejak tiga tahun lalu mereka sudah berpisah bilik selepas Ezany sendiri didakwanya berlaku curang serta mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Pasangan itu berkahwin pada pada 1 Julai 2007 dan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Hayden Harraz yang berusia 3 tahun dan Rayyan Harraz (5 tahun).