suria

Hidung Diejek, Siti Sarah Pernah Terfikir Buat Pembedahan

Siti Sarah pernah terfikir untuk melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidungnya. Foto Ihsan Instagram @sitisarahraisuddin

PETALING JAYA: Gara-gara sering diejek berhubung fizikal hidungnya yang dikatakan tidak sempurna, penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengakui pernah terfikir untuk melakukan pembedahan plastik.

Sarah, 32, berkata, sebagai manusia biasa dia juga ingin kelihatan cantik seperti wanita lain biarpun hasratnya itu tidak pernah diluahkan secara terbuka.

"Sehingga saat saya meluahkan perasaan berhubung isu hidung di Instagram baru-baru ini saya pernah terfikir untuk melakukan pembedahan kerana sebagai manusia biasa sudah menjadi lumrah kita ingin kelihatan cantik," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Terdahulu, Sarah menerusi Instagram miliknya baru-baru ini secara terbuka meluahkan perasaan berhubung penghinaan diterimanya sejak kecil berhubung hidungnya.

Sarah turut memuat naik paparan skrin dua komen pengikutnya yang meninggalkan komen berbunyi 'Hidung dia macam hippo' dan 'Ya Allah buruknya' dan bertanya apakah tindakan mereka sekiranya ada orang mengutuk dan menghina rupa mereka.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu sejak memuat naik status berkenaan keinginannya untuk melakukan pembedahan sudah tiada kerana menyedari tindakannya itu adalah salah.

Luahan hati Sarah berhubung penghinaan diterimanya berhubung bentuk fizikal hidungnya. 

Malah kata Sarah, dia terharu apabila ramai pengikutnya memberikan kata-kata semangat kepadanya dan tidak memperdulikan kata-kata cacian berhubung fizikalnya.

"Saya sedar sekiranya saya ikutkan rasa hati saya sudah menidakkan ciptaan sebaik-baiknya yang Allah berikan kepada saya selain membuktikan saya seorang yang tidak kuat dalam mengharungi dugaan kecil itu.

"Alhamdulillah keterbukaan saya bercakap secara terbuka mengenainya telah membuang jauh-jauh keinginan untuk melakukan pembedahan kerana ia perbuatan sia-sia," jelasnya.

Malah kata Sarah, dia juga pernah menyatakan hasrat untuk melakukan pembedahan tersebut kepada suaminya iaitu pelawak Shuib Sepahtu namun lelaki berkenaan memberitahu dia menerimanya seadanya.

"Saya pernah tanya suami hendak buat pembedahan bagi mencantikkan hidung tetapi dia sentiasa memberitahu dia cintakan saya seadanya.

"Tanpa melarang atau membenarkan dia menekankan saya cantik kerana diri saya dan tidak memerlukan sebarang perubahan," ujarnya.

Sarah dengan imej rambut terbaharunya. 

Bercakap mengenai luahannya tempoh hari, Sarah berkata, dia tidak berniat untuk menghentam mana-mana pihak sebaliknya hanya ingin bertanya.

Malah kata Sarah, dia mengakui tidak sepatutnya mendedahkan nama individu yang menyelarnya secara terbuka dan rasa bersalah mengenai perkara itu.

"Saya patut kaburkan sahaja nama mereka kerana bukan tujuan saya untuk menghentam atau memburuk-burukkan mereka tetapi cuma ingin bertanya jika mereka berada ditempat saya.

"Saya rasa bersalah juga kerana ramai orang salah anggap luahan saya itu tetapi saya yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya," jelasnya.

Bercakap mengenai karier nyanyiannya, Sarah berkata, dia kurang aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana tidak yakin dapat menyanyi dengan baik kerana mula kehilangan suaranya sejak melahirkan anak pertamanya, Uwais Alarni lima tahun lalu.

Bagaimanapun kata Sarah, kini vokalnya semakin baik menerusi latihan tertentu selain merancang untuk menghasilkan single terbaharu khas buat peminat.

Sarah dan anak-anaknya. 

"Selepas tiga bulan melahirkan anak pertama saya ambil undangan nyanyian dan saya dapati vokal saya tidak seperti sebelum ini selain tidak mampu mencapai beberapa nota seperti kebiasaan.

"Atas sebab itu saya tidak berani untuk mengambil undangan nyanyian kerana saya perlu melatih kembali teknik nyanyian dan pernafasan kerana semuanya sudah 'lari'.

"Alhamdulillah sekarang vokal saya semakin baik menerusi latihan berterusan dan Insya-Allah saya akan muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga bakal muncul menerusi sebuah showcase bersama penyanyi Azharina dalam masa terdekat.

Siti Sarah

Artikel Berikut

Artikel Lain