JOHOR BAHRU: Pelakon Sherry Ibrahim terkejut apabila dia mendapat undian tertinggi pada minggu pertama program realiti Gempak Superstar (GS) yang berlangsung pada malam Ahad lalu. Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 33, berkata, keputusan yang memeranjatkan itu adalah di luar jangkaan kerana dia tidak menyangka persembahannya dapat diterima oleh penonton. Katanya, keputusan itu berkemungkinan didorong oleh keterujaan peminat untuk melihat dirinya yang selama ini dikenali sebagai pelakon menyanyi di pentas. "Orang selalu tengok saya berlakon saja selama ini jadi apabila terlibat dalam pertandingan ini mereka mahu lihat saya menyanyi. "Memang gugup juga sebenarnya tapi saya cuba buat dengan baik dan menikmati persembahan itu. Alhamdulillah nampaknya ia diterima," katanya kepada mStar Online. Tasha Shilla Pada minggu pertama, Sherry mendahului undian mengatasi Nazim Othman, Siti Elizad, Izreen Azminda, Sofi Jikan, Raja Ilya, Ryzal Jaafar, Arja Lee, Dazrin Kamarudin dan Tasha Shilla di kedudukan terakhir. Bagaimanapun, peratus undian tidak diumumkan dan tiada penyingkiran berlaku pada malam itu. Pelakon Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Amy Mastura bertindak selaku juri tetap sementara juri jemputan pada minggu pertama adalah pengarah drama Michael Ang. Para peserta dalam program itu mendapat bimbingan daripada Datuk Ramli MS selaku Penasihat Vokal dan Pengarah Muzik, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim (Penasihat Drama) serta Hanafi Rosdi (Penasihat Koreografi). GS yang diacarakan pelakon Sharnaaz Ahmad dan Scha Al Yahya disiarkan secara langsung pada setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) dari Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Nusajaya di sini. Sherry berkata, di sebalik pencapaian itu dia mulai bimbang dengan persiapan untuk minggu kedua pula yang membabitkan tugasan lebih mencabar. "Saya gembira dengan keputusan itu tapi dalam masa yang sama saya semakin risau dengan tugasan lagu baharu untuk minggu kedua nanti. "Lagunya lebih berat jadi persembahan juga lebih mencabar. Dengan undian yang diterima itu sudah tentu jangkaan orang ramai terhadap persembahan saya lebih tinggi. "Jadi untuk menghadapi persaingan minggu kedua ini saya akan lebih bimbang. Harap-harap semuanya berjalan dengan baik," katanya. Sementara itu, pelakon Tasha Shilla yang menduduki kedudukan undian tercorot selepas persembahan malam pembukaan menerima dengan keputusan itu dengan hati terbuka. Para pelakon yang terlibat dalam Gempak Superstar. "Bagi saya adat bertanding kalau kita menang atau sebaliknya. Apatah lagi ia membabitkan undian penonton. Saya reda dengan keputusan itu. "Saya tidak kisah pun kalau ditakdirkan pada minggu seterusnya tersingkir kerana undian yang rendah sebab ia adalah hak penonton untuk menilai. "Yang penting bagi saya adalah menikmati persembahan saya dan buat sehabis baik mengikut tunjuk ajar daripada guru-guru," katanya. Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, keputusan tiada penyingkiran itu bertujuan memberikan peluang kepada semua peserta memperbaiki kualiti persembahan mereka menjelang minggu depan. Katanya, tindakan itu diambil untuk berlaku adil kepada majoriti peserta yang tidak berpengalaman dalam nyanyian dan persembahan pentas sebelum ini. "Seperti kita yang sedia maklum, mereka semua adalah pelakon dan pertandingan ini berkonsepkan nyanyian dan muzikal pentas. "Jadi sudah tentu untuk minggu pertama ini ada yang okey dan ada yang tidak okey dalam persembahan masing-masing. Tidak adil kalau ada yang disingkirkan pada minggu ini. "Sebab itu tiada penyingkiran pada minggu sebab kami mahu berikan ruang kepada mereka untuk memperbaiki kekurangan pada minggu berikutnya," katanya.