suria

Tiada Instagram, Twitter Shima Lebih Suka Cara Lama

Shima pernah popular dengan lagu Setelah Aku Kau Miliki.

PETALING JAYA: Penyanyi yang popular sekitar awal 1990-an iaitu Shima menyifatkan artis-artis yang lahir pada zaman teknologi sekarang sangat beruntung berbanding artis zamanya kerana perlu berusaha untuk mendekati peminat.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, 47, berkata, dia bagaimanapun lebih selesa mendekati peminat 'cara lama' iaitu dengan bertemu muka secara terus menerusi persembahan pentas berbanding di alam maya.

“Tiada istilah cemburu atau sebaliknya, cuma saya melihat artis-artis sekarang cukup beruntung kerana begitu mudah membuat promosi sendiri dan berkomunikasi dengan para peminat tanpa mengira waktu menerusi media sosial berbanding artis-artis di zaman saya yang dilihat agak sukar untuk melakukan semua itu.

“Bagaimanapun, saya akui lebih puas dan selesa dengan cara lama iaitu berdamping dengan pihak media dari aspek urusan promosi dan mendekati peminat secara berhadapan  menerusi persembahan pentas.

“Apa-apa pun, saya tidak nafikan impak penggunaan laman sosial sebenarnya bagus dalam urusan promosi. Cuma mungkin atas faktor usia sekarang, saya agak 'kurang mesra' menggunakan pendekatan cara ini dan lebih selesa dengan cara lama,” katanya kepada mStar Online.

Shima lebih germarkan berkomunikasi bersama peminat menggunakan cara lama iaitu berjumpa depan mata dengan mereka.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Shima memberitahu sehingga hari ini dia masih menggunakan telefon bimbit yang tidak mempunyai sistem aplikasi media sosial dan hanya berhubung dengan peminat di Facebook menggunakan komputer di rumah sahaja.

Katanya, sehingga hari ini dia hanya mempunyai akaun Facebook yang dijadikan medium berhubung dengan peminat di laman sosial kerana tidak mempunyai kepakaran menggunakan aplikasi lain di telefon bimbit.

“Saya tidak ada Instagram, Twitter, blog atau yang seumpamanya buat masa ini selain Facebook dengan akaun fanpage 'Shima'. Jujur, saya memang tidak tahu menggunakan aplikasi tersebut di telefon.

"Lagi pula tiada siapa yang nak ajar. Itu antara sebab kenapa saya tidak menggunakan telefon yang canggih. Cukup sekadar yang ada sahaja,” akuinya jujur.

Dalam perkembangan seninya, Shima mengakui dia kini belum ada sebarang lagu baru untuk peminat selain banyak menghabiskan masa di rumah bersama enam ekor kucing kesayangan dan berlibur bersama teman dan jiran melakukan aktiviti luar seperti memancing dan berkaraoke.

Tambahnya, bukan tidak rindu untuk masuk studio merakamkan lagu baru tetapi masih belum ada lagu dan penaja yang membolehkan dia melakukan semua itu.

“Album terakhir saya adalah pada tahun 2005 bersama label Syncrosound tetapi saya agak kecewa kerana album tersebut kurang diberi promosi.

"Bagaimanapun, saya rasa agak bernasib baik kerana sebuah lagu daripada album tersebut  berjudul 'Ke Pangkuanmu' telah digunakan sebagai lagu tema untuk drama 'Susuk'," katanya.

Di awal kemunculannya pada tahun 1989, Shima pernah bernaung di bawah label Sony Music dan sehingga kini telah mempunyai 10 buah album.

Antara lagu yang pernah melonjakkan nama penyanyi ini ialah Teringin, Luka Dilukai, Sedar dan Setelah Aku Kau Miliki yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1991.
Shima

Artikel Lain