suria

Nora Danish Kongsi Pengalaman Di Lokasi 'Dilwale' Iceland

Nora Danish memilih Iceland untuk mengadakan sesi fotografi kerana menyukai filem Dilwale yang turut menjalani penggambaran di negara itu.

PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish memilih Iceland untuk mengadakan sesi fotografi koleksi terbaharu bawah labelnya Owl by Nora Danish kerana menyukai filem Dilwale yang turut menjalani penggambaran di negara itu.

Nora atau nama sebenarnya Nor Mohd Danish Hanif, 34, berkata, sepanjang lapan hari berada di sana, dia dan pasukannya sempat merakamkan foto di lokasi penggambaran filem itu termasuk di Black Sand Beach, Seljalandsfoss Waterfall dan Ring Road.

"Saya memang kagum dan pasang impian untuk ke Iceland selepas menonton filem Dilwale dan Alhamdulillah segala perancangan dibuat akhirnya terlaksana.

"Meskipun perjalanan untuk ke Black Sand Beach memakan masa hampir tiga jam dari Reykjavik iaitu bandar utama Iceland tetapi ia sangat berbaloi apabila dapat melihat keindahan ciptaan Allah," katanya kepada mStar Online.


Nora terpaksa menahan kesejukan bagi memastikan hasil gambar yang menarik.

Sesi fotografi berkenaan menurut Nora adalah untuk koleksi Aidil Fitri Owl by Nora Danish termasuk tudung, kurung moden dan tas tangan.

Kata Nora lagi, penggambaran itu juga turut mendapat kolaborasi bersama Alextan Artworks dan Filming Art yang merakam gambar dan video nya ketika di Iceland.

"Cuaca di Iceland memang sangat sejuk serta berangin dan ia cabaran terbesar sepanjang berada di sana.

"Kami hanya melakukan apa yang termampu sahaja dan Alhamdulillah pasukan fotografi dan video yang cekap berjaya merakam momen-momen terbaik," ujarnya.

Antara aksi menarik Nora ketika berada di Black Sand Beach.

Dalam pada itu, Nora berkata, pemergiannya ke negara berkenaan bukan sahaja untuk tujuan kerja sebaliknya mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga dan anaknya, Putra Rayqal.

Berkongsi lanjut pengalaman di Iceland, Nora berkata, dia sukakan keramahan masyarakat di Reykjavik selain menyifatkan ia sebuah bandar yang cukup cantik dan tenang.

"Masyarakat di sana memang ramah dan juga mengambil berat terhadap orang sekeliling. Pernah ketika kami singgah di sebuah restoran untuk makan, kami masing-masing asyik dengan telefon.

"Melihat keadaan itu mereka menegur kami agar menyimpan telefon dan berbual di antara satu sama lain.

Antara koleksi tudung dan tas tangan dibawah jenama Owl by Nora Danish yang bakal menemui peminat. 

"Apabila melihat sekeliling masyarakat tempatan yang berada di dalam restoran tersebut memang tiada seorang pun memegang telefon dan membuatkan kami malu dan menyimpan telefon," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata, dia bakal memasuki set penggambaran telefilem arahan Ghaz Abu Bakar dan sebuah filem tentang kanser pada Mei depan.

Selain itu, Nora baharu sahaja dilantik sebagai duta produk dan ikon selfie telefon pintar Oppo F1 Plus selama setahun.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan