suria

Empat Artis Sertai 'Dangdut Star' Tidak Diberi Jalan Mudah

Seramai 10 orang peserta bakal berentap menerusi program Dangdut Star yang bakal bersiaran pada 27 April ini. Foto NORAFIFI EHSAN.

KUALA LUMPUR: Seramai empat peserta program realiti terbaharu terbitan Astro iaitu Dangdut Star yang pernah bergelar penyanyi dan merakamkan album tidak diberi jalan mudah sebelum dipilih menyertai pertandingan tersebut.

Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Zainul berkata, kesemua peserta perlu mengharungi sesi uji bakat dan pemilihan 10 peserta terbaik adalah berdasarkan kebolehan mereka menyanyikan lagu genre dangdut selain vokal yang mantap.

"Selebriti yang dipilih secara dasarnya memang kami jemput untuk menyertai program ini tetapi mereka juga melalui proses uji bakat seperti peserta lain.

"Apa yang kami cari untuk program ini adalah kebolehan peserta menyanyikan lagu dangdut kerana ia bukan mudah sebenarnya selain memerlukan mereka tahu lenggok dan kena ada gaya tersendiri dalam teknik nyanyian," katanya kepada mStar Online.

Farah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran program berkenaan di Saloma Bistro di sini, Selasa.

Penyanyi dangdut era 90-an iaitu Elda Susanty turut terpilih sebagai peserta.

Empat artis yang terpilih adalah Felix (Felix Agus, 34), Zizi (Nurfazelah, 31) dan Aishah (Siti Aishah Bujang, 25). Ketiga-tiga mereka adalah bekas peserta Akademi Fantasia.

Manakala penyanyi dangdut era 90-an, Elda atau Elda Susanty Abdul Malik, 34 turut terpilih menyertai program berkenaan.

Enam lagi peserta adalah Rojer atau Mohd Rozaidy Shukry, 29, Fitri (Fitri Haswady, 26), Jiwa (Muhd Firdaus Mohd Mustapha, 21), Zarith (Zarith Shuhada Mohd Yassin, 25), Wanie (Azmahirwani Nordin, 26) dan Fiesha (Norerinafisha, 18).

Dangdut Star bakal bersiaran selama enam minggu bermula pada 27 April ini pada pukul 9 malam di Astro Prima dan Astro Maya HD.

Ia ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd.

Peserta bakal berentap bagi merebut gelaran juara Dangdut Star musim pertama. 

Dalam pada itu, Farah berkata, tujuan utama program berkenaan diadakan adalah untuk mengangkat kembali martabat muzik dangdut selain mengembalikan zaman kegemilangan irama itu menerusi platform disediakan.

"Kami bukan sahaja ingin mencungkil bakat dan kebolehan penyanyi berpotensi untuk menjadi pelapis genre ini malah ingin mengangkat martabat muzik dangdut dan mengembalikan zaman kegemilangan irama ini menerusi platform disediakan," ujarnya.

Sementara itu, Farah berkata, Dangdut Star bukan sahaja bakal memperlihatkan para peserta mendendangkan lagu-lagu genre itu sebaliknya mereka akan dicabar untuk menyanyikan lagu biasa yang ditukar kepada irama berkenaan.

Dari situ kata Farah, penonton dapat melihat kebolehan dan kreativiti mereka sebagai penyanyi dalam mencari kepelbagaian terhadap bakat seseorang penyanyi itu.

"Seperti mana program berbentuk nyanyian lain, Dangdut Star juga ada disediakan cabaran-cabaran tertentu dalam menguji kebolehan semua peserta.

Pelawak Tauke (Jambu) dan kumpulan De Fam diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai hos.

Dalam perkembangan sama, Farah berkata, sistem pemarkahan peserta akan dibuat sepenuhnya oleh dua juri profesional yang dilantik iaitu Suhaimi Mohd Zain dan penyanyi Mas Idayu.

Manakala pelawak Tauke Jambu dan kumpulan De Fam yang dianggotai oleh Manggis, Azira dan Sophia diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai hos program berkenaan.

Juara Dangdut Star bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta pakej percutian ke Sydney, Australia dan trofi.

Naib juara pula akan memenangi wang tunai RM20,000 dan pakej percutian ke Korea Selatan dan trofi manakala tempat ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta pakej percutian ke Bali, Indonesia dan trofi.

Dangdut Star

Artikel Lain