suria

Felix Agus (AF3) Mahu Angkat Semula Namanya

Felix bakal membuat kemunculan semula sebagai peserta program Dangdut Star yang bakal bermula pada 27 April ini. Foto NORAFIFI EHSAN.

KUALA LUMPUR: Bekas naib juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Felix Agus mengakui penyertaannya dalam program realiti terbaharu, Dangdut Star mampu merancakkan kembali karier nyanyiannya yang agak perlahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Felix, 34, berkata, sudah tiba masanya dia bergiat aktif kembali di Semenanjung Malaysia selepas kembali menetap di negeri kelahirannya, Kota Kinabalu Sabah sejak 2008.

"Jujurnya saya rindu dengan kehidupan selepas AF yang mana saya sentiasa sibuk dengan persembahan pentas dan pelbagai aktiviti berkaitan seni.

"Saya yakin dengan penyertaan dalam program Dangdut Star mampu menaikkan kembali nama saya dipersada seni dan ini adalah peluang untuk saya kembali bergiat aktif sebagai penyanyi," katanya kepada mStar Online.

Felix berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program berkenaan di Saloma Bistro di sini, Selasa.

Dangdut Star menampilkan 10 peserta yang bakal berentap dalam cabaran menyanyikan lagu-lagu berentak dangdut.

Felix mahu merancakkan kembali karier nyanyiannya di Semenanjung Malaysia. 

Ia bakal menemui penonton pada 27 April ini menerusi pada pukul 9 malam di Astro Prima dan Astro Maya HD.

Program ini ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Felix berkata, biarpun pernah bergelar seorang penyanyi namun menerusi pertandingan ini dia tidak pernah meletakkan kedudukannya lebih tinggi daripada peserta lain.

Sebaliknya kata Felix, kedudukan mereka sama dan langsung tidak memikirkan soal kemenangan apabila bersetuju menyertai program tersebut.

"Seperti peserta lain saya juga perlu melalui proses uji bakat dan kedudukan kami semua sama. Pada tahap ini apa yang paling penting kami perlu memberikan persembahan bertenaga kerana bakal diadili oleh juri profesional.

"Saya tidak pernah fikir diri saya lebih hebat daripada orang lain hanya kerana saya pernah bergelar naib juara AF dan kami semua berada pada tahap sama," jelasnya.

Tambah Felix, antara faktor lain dia menyertai program berkenaan adalah kerana dia memang meminati genre dangdut dan sering memilih lagu-lagu berentak berkenaan ketika mengadakan persembahan.

Felix sempat menyampaikan lagu Semut Merah pada sidang media yang berlangsung pada Selasa. 

Malah isterinya, Lydia Larius Gojih banyak memberi semangat dan restu untuk bertanding kerana menyedari minatnya dalam muzik dangdut.

"Saya juga mempunyai harapan untuk melihat genre berkenaan diangkat lebih tinggi kerana ia bersifat universal sebenarnya.

"Malah saya yakin program ini akan mendapat perhatian daripada penonton," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, Felix berkata, sejak pulang ke Kota Kinabalu pada 2008 dia pernah merakamkan beberapa buah single dalam bahasa Kadazan, Dusun dan Melayu untuk pasaran di negeri itu.

Malah dia pernah merakamkan dua buah album di sana selain ketika ini bertugas sebagai penerbit dan penyampai radio di Kota Kinabalu FM.

"Saya ambil keputusan balik ke Sabah ketika itu kerana undangan nyanyian lebih banyak di sana berbanding Semenanjung dan syukur rezeki di kampung juga tidak pernah putus.

"Aktiviti nyanyian masih aktif malah saya ada mengeluarkan beberapa buah single dan album di sana. Kehidupan di Sabah lebih rileks dan sederhana," ujar bapa kepada Prine Eli, 4 tahun, dan Dea Thelisha, 18 bulan.

Felix Agus, Dangdut Star

Artikel Lain