suria

"Tarikh Kahwin Belum Ada, Tajaan Sudah Diterima" - Tauke

Tauke (Jambu) masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya dengan tunangnya, Nadia Mohd Affendi.
PETALING JAYA: Pelawak Tauke (Jambu) terkejut apabila banyak pihak tampil untuk memberikan tajaan pada majlis perkahwinannya walaupun dia masih belum menetapkan tarikh untuk disatukan sebagai suami-isteri dengan Nadia.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, hampir keseluruhan aspek penting majlis itu nanti sudah ada yang berminat untuk menaja dan dia menganggap perkara itu sebagai rezekinya.

"Saya sebenarnya terkejut apabila ramai pihak yang ingin menaja perkahwinan kami kerana tiada sebarang tarikh ditetapkan lagi.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dimurahkan rezeki tetapi masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tajaan diterima," katanya.

Tauke berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti terbaharu Dangdut Star di Saloma Bistro di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Tauke berkata, biarpun ada beberapa pihak sudi menaja perkahwinannya namun dia akan berbincang terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang salah faham pada masa hadapan.

"Apabila ada tajaan mereka mesti mahukan ia dapat memberi impak kepada perniagaan mereka dan pada saya ia memerlukan situasi menang-menang di antara kedua-dua belah pihak.


Tauke dan Nadia mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.

"Sebab itu saya kena pastikan perbincangan secara menyeluruh perlu dibuat dan biar bergaduh sekarang asal tidak timbul rasa tidak puas hati pada masa hadapan," katanya.

Bercakap lanjut mengenai perkahwinan itu, Tauke berkata, dia berhasrat untuk mengadakan majlis berkenaan secara besar-besaran kerana ingin menjemput semua ahli keluarga, kenalan, rakan artis dan wakil media.

"Kalau diikutkan kehendak sendiri, saya mahu mengadakan sebuah majlis sederhana sahaja tetapi saya perlu mengadakan secara meriah kerana tidak mahu sesiapa berkecil hati.

"Saya bukan sahaja mahu meraikan hari bahagia saya tetapi sama-sama berkongsi rasa gembira dengan kenalan, keluarga dan peminat," ujarnya.

Bagaimanapun kata Tauke, buat masa ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu kerana jadualnya cukup padat dengan aktiviti seni.

Namun katanya, dia tetap akan berkahwin pada tahun ini juga dan enggan menangguhkan hasrat itu pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Tauke berkata, selain sibuk dengan aktiviti lakonan dia juga bakal mengendalikan program realiti terbaharu iaitu Dangdut Star sebagai hos bersama kumpulan De Fam.

Jelas Tauke, ia adalah cabaran baharu dalam kariernya namun menyifatkan ia pengalaman menyeronokkan.

"Ia kepercayaan cukup besar diberikan kepada saya dan Alhamdulillah semakin selesa dengan tanggungjawab baharu itu.

"Malah bergandingan dengan De Fam juga cukup menyenangkan kerana kami saling memahami dan sentiasa berbincang sebelum rakaman dimulakan," katanya.

Tauke Jambu

Artikel Berikut

Artikel Lain