suria

Soalan Berbaur Lucah Pengacara TV Punca Janna Nick Berang

Janna Nick rasa diri dipermainkan dalam program baharu.

PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick mendedahkan dia bersikap acuh tak acuh dalam program terbitan sebuah stesen televisyen disebabkan berasa kesal dengan sikap pengacara rancangan itu yang banyak bertanyakan soalan berbaur lucah.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 21, berkata, dia berasa seperti dipermainkan dengan soalan-soalan yang turut menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita.

"Mereka menyuruh saya terlibat dalam satu 'game' yang agak pelik untuk program itu dan secara tidak langsung ia berunsur lucah dan boleh menjatuhkan martabat seorang perempuan.

"Soalan-soalan yang ditanya oleh pengacara pula bukannya berlandaskan kerjaya saya sebaliknya terdapat soalan yang bertujuan merendahkan kedudukan saya selain berbentuk provokasi untuk menjadikan ia kontroversi.

"Saya pelik kenapa soalan itu yang ditanyakan dan pengacara pula tidak profesional," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Khamis.

Janna berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip bahawa dia bersikap acuh tidak acuh dalam sebuah program baharu yang dikendalikan oleh seorang pengacara berpengalaman.

Dalam pada itu, Janna menjelaskan bahawa penampilannya dalam program tersebut hanyalah sebagai bidan terjun iaitu diminta menggantikan tetamu lain yang sepatutnya hadir bagi sesi rakaman berkenaan.

mStar Default Image
Janna Nick kini berada di Korea kerana sedang menjalani penggambaran filem berjudul Kimci Untuk Awak.

Dia juga kesal, niat untuk memudahkan produksi program itu akhirnya memberi kesan negatif kepada dirinya apabila dia dikatakan bersikap diva.

"Kejadian ini berlaku ketika saya terlibat dalam penggambaran di Johor Baru, saya diminta untuk terlibat dalam program itu pada saat-saat akhir kerana tetamu yang sepatutnya muncul tidak hadir. Biarpun saya menolak, mereka tetap datang ke set penggambaran saya dan merayu agar saya terlibat.

"Bayangkan ketika itu jadual saya terlalu padat kerana saya perlu menghabiskan 35 adegan untuk drama lakonan saya. Akhirnya pihak produksi drama saya membenarkan saya menyertai rakaman stesen TV itu selama tiga jam disebabkan tidak mahu mereka kerugian.

Tambah Janna, selepas gosip itu keluar, dia juga faham mengapa dia dipermain-mainkan begitu dalam program tersebut.

"Saya baru faham mengapa mereka seperti mempermain-mainkan saya ketika rakaman program itu, mungkin mereka rasa saya beri masalah dan buat mereka tunggu lama untuk mulakan rakaman.

"Ia bukan salah saya, mereka datang secara tiba-tiba ke set penggambaran saya tanpa sebarang temujanji. Jadi... memang mereka kena tunggu saya habiskan beberapa babak dahululah," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai tuduhan dia menuntut bayaran yang tinggi, Janna berkata, jumlah berkenaan ditetapkan oleh syarikat produksi drama lakonannya disebabkan mereka menanggung rugi kerana melepaskan dia untuk menyertai rakaman TV berkenaan.

Katanya, ia merupakan ganti rugi yang difikirkan oleh pihak produksi drama kerana mengganggu penggambaran yang sedang berlangsung selain dia sendiri tidak berminat untuk terlibat dengan rakaman televisyen tersebut akibat jadual yang padat.

Dalam perkembangan lain, Janna Nick adalah calon finalis untuk Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) dalam kategori Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Peminatnya boleh membuat undian menerusi http://apo.mstar.com.my/undi.aspx sehingga 27 April ini.

APO2016 bakal berlangsung di TV2 pada 30 April ini yang dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja utama.

Janna Nick

Artikel Lain