suria

Mawar Rashid Enggan Peminat Meluat Berperangai Gedik

Mawar Rashid adalah bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015. Foto dari Instagram Mawar Rashid

PETALING JAYA: Pelakon Mawar Rashid akan cuba mengurangkan sifat gila-gilanya yang dilabel sesetengah peminat sebagai 'gedik' agar tidak menimbulkan rasa meluat sesetengah pihak.

Bagaimanapun Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 21, berkata, itu tidak bermakna dia harus bersifat hipokrit untuk menjadi orang lain demi memuaskan hati pihak-pihak tertentu.

"Siapa yang kenal saya sebelum menceburi bidang seni, mereka tahu betapa gila-gilanya insan bernama Mawar Rashid. Bukan gilakan perhatian, tetapi saya selesa menjadi diri sendiri. Mungkin itu juga cara saya menghiburkan hati bersama rakan-rakan rapat dan adik-beradik.

"Pun begitu, sejak bergelar 'public figure', saya akui mula mengurangkan perangai gila-gila itu agar tidak terus disalah anggap peminat sebagai seorang yang gedik. Apa-apa pun itu tidak bermakna saya hipokrit dengan cuba berlagak baik.

"Masih ada perangai gila-gila itu, tetapi tidak 'hyper' seperti dulu,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di lokasi penggambaran iklan kempen raya terbitan Watsons di Kota Damansara, di sini, Selasa.

Selain Mawar, turut bersama menjayakan kempen tersebut ialah Sari Yanti, Arja Lee, Nomad, Raja Ilya, Amber Chia dan Mira Filzah.

Iklan itu akan disiarkan pada 16 Jun depan menerusi saluran media sosial antaranya Facebook, Instagram dan juga YouTube rasmi Watsons.

Dalam pada itu Mawar menjelaskan tidak pernah ada istilah kejutan budaya ketika pertama kali menceburkan diri dalam bidang seni memandangkan dia sendiri pernah mempunyai beberapa kenalan rapat daripada kalangan selebriti.

Perkara itu secara tidak langsung telah mendedahkan dirinya dengan kehidupan sebenar seorang artis terutamanya persediaan diri untuk melalui segala bentuk gosip dan kritikan agar tidak mudah melatah.

Katanya, ia secara tidak langsung memberikan dia persediaan awal agar tidak ampuh dengan sebarang bentuk kritikan.

"Hampir setahun berada  dalam industri seni, apa yang saya lihat semuanya sama seperti apa yang pernah saya bayangkan sebelum bergelar artis.

"Benar, bidang ini terlalu banyak ranjaunya dan saya akui jika tidak memiliki hati yang kuat, saya pasti rebah. Inilah harga yang mungkin perlu saya bayar tatkala memilih lapangan ini sebagai kerjaya.

"Apa-apa pun saya bertuah kerana sebelum bergelar artis, saya ada kenalan daripada kalangan selebriti antaranya Emma Maembong dan Cha Cha Maembong.

"Mereka banyak berkongsi kisah hidup sebagai artis dan ini secara tidak langsung memberi saya pendedahan awal agar tidak mudah ampuh dengan segala bentuk kritikan," katanya.

Mawar Rashid

Artikel Lain