suria

TV3 Pertaruhkan Drama Bersiri Indonesia & Pakistan

Antara artis yang hadir pada sidang media tayangan drama-drama menarik di saluran Media Prima.

KUALA LUMPUR: Dua drama istimewa bakal menjadi taruhan stesen televisyen TV3 selepas mereka mengambil pendekatan menampilkan pelakon popular Indonesia dan Pakistan dalam karya yang bakal disiarkan penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid berkata, ia merupakan salah satu strategi untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan slot drama di stesen televisyen itu.

"Tahun ini kita akan menampilkan dua buah drama istimewa yang melibatkan pelakon Indonesia iaitu Irwansyah menerusi drama bersiri Dia bersama pelakon tanah air Zahira MacWilson.

"Sementara itu, sebuah lagi drama berjudul Sara Sajeeda yang menampilkan Hannan Sameed dan Kinza Hashmi dari Pakistan.

"Dua buah drama ini antara yang dijangka mampu menarik penonton dengan siaran lebih 150 episod," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Media Prima Screening yang diadakan di Hotel Majestic, di sini, Rabu.

Empat buah drama menarik lain iaitu Misteri Wan Paeh, Doktor Apa Tu?, RMC Boys dan Jangan Ikut Aku turut ditayangkan dalam majlis itu.

Sementara itu, lapan program hiburan dan sukan turut diperkenalkan antaranya Hero Oven, 3 Juara, Liga Super Malaysia, Piala AFC, Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain itu, Media Prima turut melancarkan siaran secara dalam talian iaitu Studio 8 dengan menampilkan kandungan urban yang ditayangkan di stesen televisyen 8TV.

"Kita menyedari tentang medium media sosial yang menjadi salah satu media yang menjadi tontonan generasi muda urban.

"Oleh itu kami mengambil keputusan untuk menyiarkan siaran-siaran drama 8TV di laman dalam talian iaitu Studio 8," ujarnya.

Sementara itu, Media Prima turut melancarkan program jual barang menerusi televisyen dan dalam talian iaitu CJ WOW SHOP.

TV3

Artikel Lain