suria

Elda Susanti Dedah, Kerjaya Malap Selepas Pakai Tudung

Elda Susanti meninggalkan dunia seni 15 tahun lalu selepas menghasilkan dua buah album. Foto NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Penyanyi dangdut yang pernah popular menerusi lagu Yang Ku Sayang iaitu Elda Susanti menjelaskan punca dia meninggalkan dunia seni ketika namanya sedang memuncak iaitu 15 tahun lalu disebabkan keputusannya berhijrah dan memakai tudung.

Elda yang kini berusia 34 tahun berkata, selepas menutup aurat karier nyanyiannya mula malap kerana pihak promoter enggan mengambilnya mengadakan persembahan apabila dimaklumkan dia sudah bertudung.

"Saya memakai tudung ketika berusia 18 tahun dan ketika itu juga karier nyanyian saya semakin suram dan tidak banyak undangan persembahan.

"Penerimaan pihak penganjur dan peminat terhadap penyanyi bertudung ketika itu sangat berbeza dengan hari ini jadi saya akur.

"Bagaimanapun saya tidak kecewa kerana menutup aurat adalah kehendak diri sendiri dan sudah bukan rezeki saya," ujarnya kepada mStar Online.

Penyanyi berasal dari Johor itu pernah merakamkan dua buah album iaitu Yang Ku Sayang pada tahun 1997 dan Semakin Sayang (1999).

Elda bakal membuat kemunculan semula menerusi program terbaharu iaitu Dangdut Star yang bakal bersiaran pada Rabu ini, pukul 9.30 malam di Astro Prima dan Mustika HD.

Elda pernah popular menerusi lagu Yang Ku Sayang.

Dalam pada itu, Elda berkata, faktor kesuraman irama dangdut ketika itu menyebabkan dia nekad meninggalkan dunia seni dan menyambung pengajiannya ke peringkat universiti.

"Masuk tahun 2001 genre dangdut semakin dilupakan dan ia menyukarkan lagi perjalanan karier saya sebagai seorang artis bertudung.

"Jalan terbaik adalah melupakan seketika bidang nyanyian dan memberikan fokus pula kepada pelajaran," katanya yang kini ibu kepada lima cahaya mata.

Masih mengikuti perkembangan dunia seni, Elda berkata, dia bersyukur apabila melihat industri seni mula mengalami evolusi terutamanya terhadap penerimaan artis bertudung.

Malah kata Elda, itu juga antara sebab dia tergerak hati untuk mencuba nasib menerusi pertandingan Dangdut Star.

"Sebetulnya penyanyi Salwa Abd Rahman yang memberitahu saya tentang program berkenaan dan suruh saya mencuba nasib.

"Selepas mendapat keizinan suami saya nekad mencuba tambahan pula industri kini lebih terbuka terhadap artis bertudung dan Alhamdulillah saya diterima," katanya.

Sementara itu, Elda berkata, menerusi Dangdut Star dia berharap dapat memperkenalkan kembali dirinya kepada peminat sekaligus mewarnai kembali irama dangdut.

"Walaupun saya pernah merakamkan album tetapi dalam program ini saya meletakkan diri pada tahap sama seperti mana peserta lain dan tujuan saya hanya satu iaitu untuk merancakkan kembali irama dangdut," jelasnya.

Elda Susanti, Dangdut Star

Artikel Lain