PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Loka iaitu Dan Azreen memberitahu keputusan dia untuk bergerak secara solo memberinya peluang mencari identiti sebagai penyanyi. Dan atau nama sebenarnya Megat Daniel Azreen, 23, berkata, menerusi single solo terbaharunya, Bidadari dia dapat menerokai muzik berbeza daripada apa yang pernah diperjuangkan bersama Loka. "Muzik yang saya perjuangkan secara solo sangat berbeza ketika bersama Loka dan sebelum ini saya terlalu terikat kepada sesuatu genre sahaja iaitu rock. "Menerusi Bidadari saya dapat mencari identiti saya sebagai penyanyi dengan menerokai lebih banyak bunyi dan muzik agar dapat memberi satu pembaharuan dalam karier saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Dan juga berkata, dia juga membuka ruang untuk bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik yang lain kerana ingin lebih bersikap terbuka. Dan tampil dengan Bidadari sebagai pertaruhan projek solonya. Malah katanya, dia dapat melihat kelemahan diri sendiri apabila bekerja dengan orang lain selain memperbaiki diri terutamanya dari segi ilmu dalam bidang muzik. "Saya sebelum ini banyak menghasilkan karya sendiri bukan kerana tidak percaya pada bakat orang lain tetapi kerana saya tahu apa yang saya mahukan. "Tetapi apabila saya membuka diri ke ruang lebih besar ia sebenarnya banyak menampakkan kelemahan diri sendiri dan banyak yang boleh dipelajari daripada orang lain," katanya. Bidadari adalah hasil ciptaan dan lirik oleh Syami dan Khadijah. Sementara itu, Dan mengakui perjalanan kariernya sebagai penyanyi tidak mudah biarpun sudah beberapa tahun bergelar penyanyi namun enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuknya berputus asa. Dan memberitahu dia masih bersama kumpulan Loka. Malah katanya, pengaruh bapanya, Andy (Flop Poppy) tidak memberinya kelebihan untuk mendapat tempat namun lebih selesa tidak dikaitkan dengan lelaki itu. "Saya perlu berusaha sendiri tanpa dibayangi sesiapa termasuk bapa sendiri meskipun perlu bertatih dari bawah. "Masih banyak yang perlu saya perbaiki dan penghasilan single solo ini adalah salah satu proses pembelajaran saya sebagai anak seni," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Dan berkata, dia secara dasarnya masih bersama Loka dan Bidadari hanya projek istimewanya. Kata Dan, meskipun masing-masing kini mempunyai komitmen sendiri namun dia belum terfikir untuk meninggalkan Loka dan merancang untuk menghasilkan single terbaharu bersama mereka. "Saya masih bersama Loka cuma buat masa ini masing-masing tidak dapat berikan komitmen dan sebab itu saya teruskan dengan projek solo," ujarnya.