suria

Haiza Tidak Terjejas Dengan Populariti

Haiza fokus terhadap tanggungjawab dan kepercayaan yang digalasnya kini kerana bidang seni adalah kariernya.
PETALING JAYA: Penyanyi Haiza memberitahu dia tidak terjejas dengan perhatian dan populariti yang dikecapinya sejak menyertai program Gegar Vaganza 2, tahun lalu.

Sebaliknya kata Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 36, berkata, dia perlu fokus terhadap tanggungjawab dan kepercayaan yang digalasnya kini kerana bidang seni adalah kariernya.

"Sejak dari mula saya menceburi bidang seni pada tahun 1995 populariti atau glamour tidak pernah menjadi tumpuan saya sebaliknya menganggap nyanyian sebagai karier.

"Jika hendak diikutkan saya tidaklah sepopular mana tetapi saya tetap bertahan kerana ini adalah periuk nasi saya.

"Apabila tumpuan diberikan saya anggap ia sebagai bonus tetapi saya perlu fokus kerana banyak tanggungjawab yang saya pikul kini," katanya kepada mStar Online.

Karier seni Haiza kembali menyerlah sejak menyertai program Gegar Vaganza 2 tahun lalu.

Penyampai radio Kool FM itu bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29) yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Mei depan.

Haiza yang popular menerusi lagu Dag Dig Dug itu bakal bergandingan dengan Zizan Razak, Mira Filzah dan AG.

Dalam pada itu, Haiza berkata, dia sedar apabila namanya kini menjadi sebutan ada pihak-pihak yang ingin melihat kejatuhannya namun dia tidak pernah memberi perhatian kepada perkara itu.

Malah kata Haiza, dia tidak mempunyai sebarang strategi untuk mengekalkan kedudukannya pada hari ini namun dia menjadi dirinya sendiri sebagai kunci kekuatan untuk bertahan lama.

"Kita kena jujur dengan diri sendiri dan sepanjang 20 tahun saya berada dalam industri saya menjadi diri sendiri dan Alhamdulillah saya masih di sini," ujarnya.

Haiza bakal bergandingan dengan Zizan, Mira Filzah dan AG sebagai hos ABPBH 29.

Sementara itu, Haiza berkata, meskipun dia kini dilihat lebih ke hadapan sebagai penyampai radio namun dia masih aktif dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun kata Haiza, dia bersyukur kerana mengambil keputusan kembali berpindah ke Kuala Lumpur kerana lebih banyak masa diluangkan bersama suami dan anaknya.

"Saya lihat peluang dalam bidang lain selain nyanyian adalah rezeki yang tidak patut saya lepaskan seperti hos ABPBH 29 ia mungkin peluang sekali seumur hidup saya.

"Alhamdulillah sejak pulang ke Kuala Lumpur karier saya lebih terbuka luas dengan pelbagai peluang. Saya bersyukur sangat dan Allah menyusun cantik rezeki saya.

"Malah masa bersama keluarga dan anak kini tidak lagi terjejas dan saya dapat meluangkan lebih banyak bersama mereka," jelasnya.
Haiza

Artikel Lain