PETALING JAYA: Ketika finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) berkira-kira mengenai nasib masing-masing, penaja anugerah itu, Faziani Rohban pula cukup teruja untuk menghadiri acara berkenaan Sabtu ini. Faziani yang juga pengasas produk kecantikan Dnars berkata APO2016 merupakan anugerah pertama yang ditajanya bukan sahaja melibatkan pendatang baharu sebaliknya penyertaan nama-nama besar dalam dunia seni. "Ia bukan anugerah yang calang-calang kerana senarai artis yang terlibat adalah mereka yang gah dalam dunia seni. Sudah tentu kemenangan mereka akan menaikkan nama Dnars sebagai penaja anugerah ini, “ katanya kepada mStar Online. APO2016 bakal disiarkan di TV2 pada Sabtu ini dari Auditorium Perdana, Angkasapuri dekat sini bermula pukul 9 malam. Acara karpet ungu boleh ditonton menerusi live streaming di http://apo.mstar.com.my/malam-anugerah.aspx dan saluran TVi (180 Astro) bermula pukul 8.30 malam. Faziani memegang contoh jus lutox keluaran Dnars. Sebanyak 18 kategori diperkenalkan melibatkan sembilan kategori hiburan, tiga kategori sukan, lima bagi kategori Gaya Hidup dan satu kategori utama iaitu Personaliti Terunggul APO2016. Ditanya mengenai imej yang bakal ditampilkan ketika melalui karpet ungu pada acara itu nanti Faziani berkata, beliau akan muncul dengan imej anggun selain menitikberatkan keselesaan apabila menggayakan sesuatu fesyen. Tambahnya, busana yang bakal digayakan itu adalah rekaan pereka ternama iaitu Rizman Ruziani yang terkenal dengan rekaan terkini dan moden. “Imej saya nanti adalah elegance dan harga busana yang bakal saya bawa tu… biarlah rahsia haha,” ujarnya berjenaka. Faziani menambah, dia turut menantikan persembahan pembukaan pada APO2016 untuk melihat gabungan lagu-lagu baharu dan lama daripada bintang-bintang popular termasuklah lagu tema Dnars yang akan disampaikan oleh Mimi (One Nation Emcee). Ditaya apakah harapannya selepas penganjuran anugerah itu Faziani berkata, beliau ingin melihat produk kecantikan Dnars lebih dikenali dan akan menjadi viral disamping jualannya terus meningkat. “Sebagai penaja, saya mahu Dnars akan lebih dikenali, penjualan produk meningkat dan jika jualan bagus, tentulah saya dapat menaja APO lagi tahun depan,” katanya. Dalam perkembangan lain, ketika ini Dnars memperkenalkan produk baharu iaitu jus lutox untuk kesihatan dalaman dan gel lutox bagi kegunaan luaran seperti sakit lutut dan sakit pinggang.