suria

Gambar Mesra Dengan Nadia Brian Hanya Untuk Promosi Drama - Syafie Naswip

Syafie Naswip

PETALING JAYA: Pelakon Syafie Naswip memberitahu gambar mesranya dengan aktres Nadia Brian hanyalah untuk mencari keserasian dalam drama terbaharu mereka berjudul Sape Dari Itali.

Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 24, berkata, dia turut menafikan sudah mempunyai bibit cinta dengan pelakon baharu berkenaan selain bertujuan untuk promosi awal kepada drama tersebut.

"Kami belum lagi sampai ke tahap bercinta itu cuma saya selesa bekerja dengan dia biarpun dia pelakon baharu, tapi dia berbakat dalam bidang lakonan ini.

"Selain mencari keserasian sebagai gandingan, kami saja-saja bergambar bersama untuk tujuan promosi awal drama tersebut yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Antara foto yang dimuat naik Syafie bersama Nadia Brian.

Syafie berkata demikian ketika diminat mengulas tentang beberapa gambar mesra bersama pelakon Nadia Brian yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya dia dan wanita berkenaan.

Foto-foto tersebut juga mendapat maklum balas positif peminat dan beberapa rakan artis yang menyokong hubungan tersebut.

Sementara itu, Syafie berkata, drama tersebut berkenaan seorang wnaita berasal dari negara Itali yang datang ke Malaysia untuk mencari bapanya.

"Ia tentang alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape dan tentang wanita dari Itali mencari bapa yang tinggal di Malaysia.

"Kami masih lagi menjalani penggambaran yang dilakukan di Terengganu," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang bergandingan dengan pelakon baharu, anak didik Allahyarham Yasmin Ahmad ini berkata, dia tidak pernah memandang rendah terhadap bakat pelakon baharu.

"Saya tidak pernah pandang rendah kepada bakat-bakat baharu kerana saya tahu mereka akan melalui proses belajar lama-kelamaan nanti.

"Lagi pula umur kami kebanyakkannya sebaya sahaja, jadi saya rasa seperti sama sahaja tiada istilah lama dan baru," ujarnya.

Syafie Naswip

Artikel Lain