suria

Sandra Gembira 'Hey Kau' Terima Respons Positif Di Indonesia

Sandra akui lagu tersebut mudah diterima pendengar.

PETALING JAYA: Penyanyi baharu Sandra gembira apabila lagu single pertamanya berjudul Hey Kau menerima respons positif dan mula diputarkan di beberapa stesen radio negara jiran Indonesia.

Sandra atau nama sebenarnya, Alessandra Dianne Ampuria, 22, berkata, dia menerima maklum balas tersebut sejak Mac lalu apabila lagu berkenaan mula ke udara di beberapa daerah negara itu iaitu Jakarta, Bandung dan Bali.

"Alhamdulillah, lagu tersebut mula dimainkan sejak Mac lalu dan sekarang semakin mendapat sambutan dan stesen radio di sana sering tag akaun laman sosial peribadi saya jika lagu tersebut dimainkan.

"Setakat ini banyak respon positif daripada pendengar di Indonesia, mereka turut menulis komen yang baik-baik di lirik video lagu di YouTube," ujarnya kepada mStar Online.

Sandra berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu pertama berjudul Hey Kau mendapat mula perhatian di negara Indonesia.

Sandra rancang ke Indonesia.

Lirik video lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu mendapat sebanyak lebih 5 juta tontonan di YouTube.

Tambah Sandra, penerimaan rakyat negara jiran terhadap lagu berkenaan berkemungkinan disebabkan cara nyanyiannya yang mempunyai dialek Sabah seakan-akan bahasa Indonesia.

"Penerimaan mereka juga mungkin kerana cara nyanyian saya yang terlalu pekat dialek Sabah itu kedengaran seperti bahasa Indonesia.

"Namun, sudah semestinya kerana lagu ciptaan abang Tam Spider itu sendiri catchy dan mudah untuk diterima pendengar,"ujarnya.

Dalam pada itu, Sandra yang merupakan artis naungan label Indigital itu mempunyai perancangan untuk mengadakan promosi di Indonesia tidak lama lagi.

Katanya, dia yang sudah keluar dengan single kedua berjudul Ku Tak Mahu Cinta mempunyai strategi tersendiri bagi mempromosi kedua-dua lagu tersebut di negara jiran itu.

"Indigital ada rancang untuk ke Indonesia dalam mempromosikan lagu tersebut, namun kami mungkin akan mempromosi single kedua saya sekali berjudul Ku Tak Mahu Cinta," ujarnya.

Sandra, Hey Kau

Artikel Berikut

Artikel Lain