suria

Bunkface Rancang Konsert Berskala Besar Untuk Peminat

Bunkface merancang untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar khas buat peminat mereka pada penghujung tahun ini. Foto YAP CHEE HONG

PETALING JAYA: Kumpulan Bunkface bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar bersempena ulangtahun ke-10 band berkenaan pada penghujung tahun ini.

Vokalisnya, Sam atau nama penuhnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 29, berkata, penganjuran persembahan itu sebagai menghargai sokongan peminat sepanjang penglibatan mereka dalam bidang muzik.

"Insya-Allah jika tiada halangan kami akan mengadakan konsert berskala besar pada penghujung tahun ini khas buat peminat.

"Kami rasa tahun ini adalah masa paling sesuai untuk mengadakan persembahan tersebut memandangkan kami pun sudah 10 tahun dalam industri seni," katanya kepada mStar Online.

Selain Sam, Bunkface turut dianggotai oleh Youk (Farouk Jaafar) dan Paan (Ahmad Farhan).

Dalam pada itu, Sam berkata, setakat ini idea untuk mengadakan konsert itu masih dalam peringkat perbincangan namun akan memastikan ia terlaksana demi peminat mereka.

Bunkface bersama dua wangian dibawah jenama mereka iaitu Bunkface Revolution dan Bunkface for Her.

"Tidak banyak yang saya boleh kongsi buat masa ini kerana ia masih diperingkat awal.

"Akan tetapi kami akan merialisasikan hasrat berkenaan pada hujung tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharu Bunkface, Sam berkata, mereka baharu sahaja melancarkan wangian dibawah jenama mereka iaitu Bunkface Revolution dan Bunkface for Her.

Kata Sam, sudah tiba masanya mereka mengorak langkah dalam bidang perniagaan dan memilih produk wangian kerana ia sesuatu yang baharu bagi band seperti mereka.

"Tiada lagi kumpulan di Malaysia yang ada produk Wangian, kami pertama dan Alhamdulillah sejak dilancarkan pada Februari lalu menerusi stokis ia mendapat sambutan hangat dan telah pun terjual sebanyak 20,000 botol.

"Ini satu anjakan daripada kami dalam bidang perniagaan dan selepas ini Insya-Allah kami akan tampil dengan lebih banyak produk wangian berdasarkan nama lagu kami," katanya.

Bunkface bakal melancarkan album berbahasa Inggeris pada tahun hadapan.

Tambah Sam, mereka memilih sendiri karektor bauan yang diingini selepas dipelawa oleh Smell Factory Manufacturing untuk berkolaborasi menghasilkan wangian berkenaan.

Katanya lagi, selain mempunyai bau yang wangi dan tahan lama ia juga dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM39.90.

"Harga minyak wangi kami sangat berpatutan dan kualitinya sama dengan wangian jenama antarabangsa.

"Ia satu pengalaman baharu apabila kami sendiri membuat kajian tentang bau dan memilih untuk jenama kami," ujarnya.

Peminat yang ingin mendapatkan atau menjadi stokis boleh mengunjungi akaun Facebook dan Instagram Bunkfaceperfume.

Dalam perkembangan lain, Sam berkata, selain bakal tampil dengan single terbaharu iaitu Darah Muda, kumpulan itu sedang merakamkan album berbahasa Inggeris yang dijangka akan dipasarkan pada tahun hadapan.

"Kami sangat teruja dengan album terbaharu kerana ia sangat lain daripada apa yang pernah kami hasilkan sebelum ini," katanya.

Bunkface

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain