PETALING JAYA: Selebriti media sosial dan penyanyi Takahara Suiko tidak akan mendedahkan nama sebenarnya kerana ingin menjaga privasi kehidupan peribadi. Takahara berkata, dia tidak melihat sebarang keperluan untuk mendedahkan perkara itu kerana kehadirannya dalam industri seni bukan untuk meraih publisiti. "Saya lebih selesa hanya dikenali sebagai Takahara kerana itu adalah diri saya sebagai anak seni selain enggan mencampur-adukkan karier dan kehidupan peribadi. "Apabila orang tahu nama sebenar saya mereka mungkin lebih tertarik dengan perkara lain dan bukannya kepada karier saya. "Saya juga tidak berminat untuk orang lain mengambil tahu tentang hal-hal peribadi saya kerana saya juga ada kehidupan sendiri seperti mana orang lain," katanya kepada mStar Online. Takahara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem televisyen berjudul Hey Orang Kita yang diadakan di The Publika pada Rabu lalu. Takahara ingin menjaga kehidupan peribadinya. Selain Takahara, ia turut dibintangi oleh selebriti media sosial lain seperti Raja Syahiran, Talitha Tan dan Christian B Palencia. Ia diarahkan oleh pengarah muda, Zara Kahan. Hey Orang Kita bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 19 Mei ini. Bayaran hanya RM15.90 termasuk GST dikenakan untuk menonton FTV berkenaan dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. Dalam pada itu, Takahara berkata, dia pernah berasa bimbang sekiranya ada pihak yang mengetahui nama sebenarnya akan mendedahkan perkara itu kepada umum. Bagaimanapun dia kini tidak terlalu memikirkan perkara tersebut dan tidak kisah sekiranya ada yang mengetahui identitinya yang sebenar. "Pernah saya berasa bimbang tetapi saya tidak fokus kepadanya kerana pada saya apa lebih penting saya fokus terhadap kerja-kerja yang sedang saya lakukan," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai imejnya yang dilihat pelik, Takahara berkata, dia tidak peduli tentang pandangan serong orang terhadapnya. "Ada yang berpandangan serong terhadap saya apabila saya keluar memakai telekung atau berkain batik tetapi saya selesa. "Saya tidak perlu ambil serius dengan kata-kata orang lain kerana paling penting saya bahagia," jelasnya. Barisan pelakon Hey Orang Kita. Bercakap mengenai Hey Orang Kita, Takahara berkata, ia adalah filem televisyen pertama dan teruja apabila diterima untuk menjayakannya. Katanya, dia tertarik dengan jalan cerita ditampilkan selain ia berbentuk muzikal yang memerlukan mereka menyanyi dalam drama berkenaan. "Seperti pelakon lain saya juga menghadiri uji bakat dan tidak sangka pula saya diterima untuk berlakon dalam Hey Orang Kita. "Ia sebuah projek yang cukup berlainan selain mengangkat kisah-kisah semasa yang diolah menjadi sebuah muzikal tetapi masih sarat dengan pengajaran," katanya. Dalam perkembangan lain, Takahara berkata, dia kini sibuk menghasilkan lagu terbaharu berjudul Janji selain bertindak sebagai penulis skrip untuk beberapa program keislaman seperti 99 Nama Allah dan 25 Rasul untuk siaran Astro Oasis.