KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Awie memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa dia sudah memujuk anak lelakinya, Putera Ahmad Merrah untuk tinggal bersama bekas isterinya, Rozana Misbun namun kanak-kanak berusia 9 tahun itu enggan berbuat demikian. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, sebagai bapa dia tidak mahu memutuskan hubungan anaknya itu dengan dua lagi adiknya iaitu Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6 yang kini dibawah jagaan Rozana. "Sebagai seorang bapa yang prihatin saya ada memujuknya untuk tinggal bersama Rozana kerana hubungannya dengan adik-adiknya sangat rapat. "Tetapi dia sendiri yang enggan untuk berbuat demikian walaupun telah dipujuk," katanya. Vokalis kumpulan Wings itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam syarie yang mewakilinya iaitu Mohd Syafiq Norizan sama ada dia bersetuju sengaja melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan sementara anak-anak mereka yang dikeluarkan pada 27 Januari tahun lalu. Putera Ahmad Merrah yang sepatutnya diserahkan kepada Rozana selaku plaintif kes berkenaan masih berada dibawah jagaan penyanyi itu. Kes komital berhubung pelanggaran perintah itu bersama dua lagi kes mengenai pembayaran kos didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain. Dalam pada itu, Awie berkata, dia tidak melakukan sebarang kesalahan apabila gagal menyerahkan Putera Ahmad Merah kepada plaintif kerana telah memfailkan semakan bagi membantah keputusan hak pengajaan anak itu di Mahkamah Rayuan Syariah pada 21 April tahun lalu. Katanya, dia masih lagi menunggu nota penghakiman berhubung permohonannya itu yang difailkan oleh peguam syarie yang mewakilinya sebelum ini, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain. "Saya tidak bersetuju telah melanggar perintah yang dikeluarkan kerana telah memfailkan semakan berhubung keputusan itu dan masih menanti keputusan. Sementara itu, Awie ketika pemeriksaan sama turut memberitahu mahkamah Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha menangis dan meronta-ronta apabila bekas isterinya itu membawa 'lari' kanak-kanak berkenaan dari sekolah mereka kerana tidak mahu mengikut plaintif. Ditanya tentang gambaran anak-anaknya yang tidak rela mengikut Rozana, Awie berkata, guru di sekolah berkenaan yang memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu. Pada prosiding berkenaan Rozana hadir bersama peguamnya, Nor Azmi Mohd Arif. Dalam perkembangan sama, Awie tidak bersetuju apabila dia dikatakan sengaja melanggar perintah untuk membayar dua kos guaman masing-masing berjumlah RM900 dan RM5,000 kepada Rozana. Kata Awie, dia telah memfailkan semakan tentang perintah itu di Mahkamah Rayuan Syariah dan masih menanti keputusan. Mohd Amran menangguhkan kes berkenaan pada 21 Julai untuk sesi penghujahan dan keputusan.