suria

Enam Tahun Menduda, Cico Harahap Belum Fikir Calon Isteri

Cico bersama anaknya Rindu Nur Fitrah.
KUALA LUMPUR: Pelakon Cico Harahap berkata, selepas enam tahun memegang status duda dengan membesarkan seorang anak iaitu Rindu Nur Fitrah, 6, membuatkan dia belum memikirkan tentang calon isteri.

Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 38, berkata, dia gembira melihat anaknya membesar di depan mata seperti mana yang dilalui ketika dibesarkan ibunya penyanyi veteran Uji Rashid.

“Soal pengganti saya tidaklah mencari tetapi kalau sudah ditakdirkan jodoh tiba, saya tidak mengelak. Namun untuk waktu sekarang saya masih selesa begini.

"Situasi itu dilihat sama seperti bagaimana saya membesar suatu ketika dulu bersama ibunya, " ujarnya kepada mStar Online.

Cico ditemui ketika menghadiri program Hari Ibu & Pasarnita yang berlangsung di Saloma Bistro di sini, pada Ahad.

Cico telah mendirikan rumah tangga dengan Nur Fuziani Abdullah pada 25 Februari 2008 di Songkhla, Thailand, namun bercerai pada 2010.

Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah.

Dalam perkembangan lain dia masih  aktif menerima tawaran lakonan dan bakal muncul dalam sebuah filem pada tahun depan.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kehadiran ramai pelakon baru kebelakangan ini membuatkan ada pihak produksi terlepas pandang dengan kehadirannya.

“Saya tidak pernah berniat untuk bersara dari bidang lakonan tempatan. Cuma penglibatan saya agak perlahan kebelakangan ini di atas beberapa faktor antaranya sibuk dengan perniagaan berkonsepkan 'Health & Beauty'.

"Selain itu saya juga aktif sebagai jurulatih kecergasan peribadi untuk aktivi scuba di beberapa buah pulau di Malaysia," ujarnya. 

Cico

Artikel Lain