PETALING JAYA: Pelakon Nas-T mengakui rezekinya lebih murah selepas mendirikan rumah tangga dengan model dan selebriti Instagram (Instafamous) iaitu Atita Haris. Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 33, berkata, dia turut menerima tawaran menjadi model dan duta produk bersama isteri dan anak tirinya Nur Sofia Hazrul Fadhli yang berusia empat tahun. "Alhamdulillah, mungkin ini kawan-kawan saya yang sudah kahwin dulu kata tentang rezeki apabila kita berkahwin. "Pada mulanya saya juga tidak percaya, namun ia benar dan Allah melancarkan semua perkara yang kami rancangkan. "Dulu saya tidak tidak terlibat dengan dunia fesyen dan selepas berkahwin ini banyak syarikat yang berminat mengambil kami sekeluarga sebagai duta produk mereka, saya pun secara tidak langsung dan melangkah kaki ke dunia fesyen ini," ujarnya kepada mStar Online. Nas-T, isterinya Atita dan anak tirinya Opie dilantik menjadi duta raya Felinna Boutique. Nas-T ditemui pada majlis pelancaran koleksi Felinna Raya 2016 yang diadakan di Flora Tarrace, baru-baru ini. Tambah Nas-T, kebanyakkan pakej tawaran yang diterima secara bertiga adalah atas permintaan klien sendiri. "Mereka yang mahu kami tampil bertiga, ia bukan kerana syarat saya atau Atita yang letakkan. Ada juga produk seperti tudung saya tidak terlibat," ujarnya. Sementara itu, katanya, kehidupan bekerluarga yang dibina hampir empat bulan ini, Nas-T berkata, ia berjalan dengan lancar dan melalui fasa kehidupan sebuah keluarga bahagia. Dia juga sudah bersedia jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. "Alhamudlillah, kehidupan bekeluarga kami berjalan dengan baik seperti keluarga lain. Saya juga sudah bersedia jika dikurniakan cahaya mata. "Kalau boleh ingin anak lelaki supaya dia boleh menjaga adik-adiknya kelak," ujarnya. Pengasas Felinna Boutique, Nadea Felinna (dua dari kanan) akui pasangan ini paling berpengaruh di media sosial. Dalam pada itu, pengasas Felinna Boutique, Nadia Felinna Abd Fattah berkata, pemilihan pasangan selebriti itu berikutan kesesuaian personaliti pasangan itu sebagai sebuah keluarga bahagia yang menjadi perhatian di laman sosial Instagram. "Mereka adalah pasangan yang paling sesuai kerana sentiasa menunjukkan kehidupan sebuah keluarga bahagia. "Malah Atita Haris sendiri dikenali sebagai seorang ibu muda yang mempunyai ramai pengikut di Instagram. Apa yang dia, anak dan suaminya Nas-T sering mendapat perhatian di laman sosial," ujarnya. Pada majlis tersebut, Felinna turut melancarkan 10 koleksi rekaan #Felinna Raya2016 yang turut merangkumi tiga rekaan untuk ibu dan anak. Manakala, terdapat juga tiga rekaan menarik untuk para lelaki di pagi raya.