suria

'Saya Yang Banyak Tanggung Malu' - Awie

Awie tidak terkesan dengan tindakan bekas isterinya, Rozana Misbun yang ingin mengemukakan saman malu terhadapnya. Foto LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Awie tidak terkesan dengan kenyataan bekas isterinya, Rozana Misbun yang ingin mengemukakan saman malu atas dakwaan fitnah yang dibuatnya terhadap wanita berkenaan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, dia tiada hak untuk menghalangnya hasrat bekas isterinya itu.

"Sebenarnya saya yang banyak menanggung malu tetapi biarlah dia hendak buat apa pun," katanya ringkas.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis Bikers Unite For Charity yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Ahad.

Awie.
Terdahulu, Rozana, 38, berkata, dia ingin mengambil langkah tersebut kerana segala fitnah dilemparkan Awie boleh meninggalkan kesan terhadap dirinya dan anak-anak kerana tuduhan yang dilaporkan media itu akan kekal sebagai bahan bacaan di Internet.

Keputusan itu dibuat selepas Awie mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadapnya daam satu kejadian di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak di sini pada 2 Jun 2014.

Penyanyi itu diarahkan membayar denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.

Terdahulu pada 7 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang pula melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang, selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Rozana.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis Bikers Unite For Charity, Awie berkata, dia bersyukur apabila usaha semua ahli-ahli persatuan menunggang motosikal berkuasa tinggi di seluruh Malaysia tampil menghulurkan sumbangan dan tenaga bagi memastikan objektif terlaksana.

Malah kata Awie, sebagai seorang selebriti dia juga turut memainkan peranan dengan membuat promosi dan hebahan kepada peminat-peminatnya untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan tidak bernasib baik.

Anak-anak yatim dari tiga buah kebajikan bergambar kenangan pada majlis Bikers Unite For Charity.

"Alhamdulillah hari ini kami barisan bikers dapat berkumpul demi satu tujuan iaitu untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik dan saya sendiri tidak menyangka sokongan daripada semua ahli kelab termasuk orang ramai cukup meriah.

"Ia menaikkan lagi semangat kami untuk meneruskan projek ini demi mengumpul lebih banyak dana untuk disumbangkan kepada yang berhak," katanya.

Selain Awie, acara itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Erra Fazira dan Jehan Miskin.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Bikers Club United (BUC), Jaafar Mohamad berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul dan sebanyak RM120,000 dan 70 peratus daripadanya telah diserahkan kepada lima buah rumah kebajikan pelbagai latar belakang.

Kata Jaafar, sumbangan yang diterima masih berterusan daripada pihak perseorangan atau pun syarikat dan ia bukti masyarakat Malaysia prihatin terhadap golongan memerlukan.

Erra dan Awie antara selebriti yang aktif dalam dunia permotoran berkuasa tinggi.

"Hari ini sahaja hampir 2,000 yang hadir bagi memeriahkan acara dan Alhamdulillah selepas lebih 47 hari kempen ini diadakan kami berjaya mengutip dana sebanyak RM120,000.

"Lebih menggembirakan dana yang masuk masih berterusan dan kami menjangkakan ia akan mencapai RM200,000 dalam sedikit masa lagi.

"Ini membolehkan kami mengagihkan kepada lebih banyak rumah kebajikan termasuk di luar Lembah Klang," katanya.

Pada majlis sama, Jaafar turut menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil lima rumah kebajikan termasuk tiga rumah anak yatim pada acara tersebut.

Artikel Lain