PETALING JAYA: Penyanyi Asmidar tidak pernah menyerah kalah untuk terus mengukir nama dalam bidang nyanyian meskipun karier seninya semakin perlahan daripada sebarang publisiti. Asmidar atau nama sebenarnya, Norhasmidar Ahmad, 30, berkata, dia tetap meletakkan kepercayaan bahawa populariti akan hadir dengan sendirinya sekiranya dia terus berusaha bersandarkan kepada kesungguhan dan bakat nyanyian yang ada padanya. "Memang nama saya kurang diperkatakan sejak kebelakangan ini namun ia tidak membuatkan saya untuk terus mengalah sebaliknya lebih bersemangat untuk memperbaiki kekurangan yang ada. "Saya percaya dengan kerja keras, kesungguhan, tawakal dan percaya dengan bakat, Insya-Allah suatu hari nanti kejayaan itu akan datang dengna sendirinya selagi saya tahu kekuatan diri dan bakat saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Asmidar berkata, dia kini lebih berdikari dalam menguruskan karier seninya sejak kontraknya bersama syarikat rakaman Warner Music berkahir pada pertengahan tahun lalu. Jelasnya, walaupun ia memberi cabaran baharu kepadanya namun ia juga membuatkannya lebih berdikari selain mempelajari selok-belok tentang dunia seni. "Sejak bergerak solo saya terpaksa berdikari melakukan semua perkara dan ia bukan semudah disangka namun ia satu proses pembelajaran untuk saya. "Ini juga memberi peluang untuk saya mendekati media dan peminat secara terus dan sekaligus ia mengakrabkan lagi hubungan kami. "Alhamdulillah rezeki mengadakan undangan nyanyian masih ada walaupun publisiti mengenai saya agak perlahan kebelakangan ini," ujarnya. Asmidar sebelum ini merupakan Juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa 2011 dan pernah popular menerusi lagu Biar Sampai Ke Bintang.