suria

Hazami Pernah Hilang Identiti, Tersentak Dipanggil Hazama

Hazami kembali dengan single terbaharunya yang berjudul Cintai Dia. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hazami mengakui pendekatannya untuk mengubah cara nynyiannya agar kelihatan berbeza sebelum ini membawa padah apabila ia memberi impak negatif terhadap karier seninya.

Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 41, berkata, disebabkan perkara itu dia hampir kehilangan identiti dirinya selain penerimaan peminat terhadapnya semakin berkurangan.

"Jujur saya katakan itu antara punca kenapa penyertaan saya dalam industri seni kebelakangan ini semakin kurang mendapat penerimaan.

"Saya hampir kehilangan identiti diri sepertimana yang pernah peminat-peminat kenal Hazami menerusi lagu-lagu seperti Sonata Musim Salju, Tekad dan Mungkir Bahagia," katanya kepada mStar Online.

Hazami berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Cintai Dia di Jibby East di sini, Rabu.

Hazami pernah dipanggil Hazama kerana nama yang seakan-akan sama.

Dalam pada itu, Hazami berkata, perubahan yang dilakukannya sebelum ini memberi banyak pengajaran kepadanya untuk lebih bersyukur menghargai bakat sedia ada sekaligus mengenal potensi diri.

"Bukan saya takut mengambil risiko membuat pembaharuan tetapi berdasarkan eksperimentasi sebelum ini peminat tetap mahukan Hazami yang dulu menerusi lagu-lagunya yang harmoni, tidak sarat dengan instrumen muzik dan menonjolkan pada kekuatan vokal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hazami berkata, dia pernah membuang karya-karya ciptaannya sebelum ini kerana ia tidak menonjolkan identiti sebenarnya sebagai penyanyi.

Malah katanya, ada sesetengah pihak tersilap memanggilnya dengan nama Hazama di beberapa majlis hiburan membuatkan dia terdetik sama ada namanya sudah tidak relevan sebagai penyanyi.

"Banyak kali nama saya dipanggil Hazama. Kadang kala terasa juga mungkin atas faktor nama kami seakan sama atau juga orang sudah mula melupakan nama Hazami kerana lama menghilang tanpa karya-karya yang mampu memberi impak seperti sebelum ini.

“Justeru, dengan lahirnya single Cintai Dia yang saya sifatkan sebagai salam pengenalan semula saya kepada peminat, saya harap orang akan kembali mengingati Hazami," katanya.

Cintai Dia adalah sebuah lagu balada ciptaan sepenuhnya oleh Hazami sendiri dan diterbitkan oleh Cloudworks Entertainment.

Sementara itu, berkongsi tentang keadaan kesihatannya yang sebelum ini mengalami masalah pendarahan usus, Hazami bersyukur kerana ia beransur baik dan dia tidak perlu lagi mendapat rawatan susulan di hospital.

Biarpun mengakui adakalanya rasa kurang bertenaga, namun dia tidak akan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk memperlahankan aktiviti seninya yang disifatkan seperti baru hendak bermula.

Hazami

Artikel Lain