suria

Raja Azmi Kongsi Foto Kemesraan Untuk Inspirasi Warga Emas

Raja Azmi

PETALING JAYA: Produser Raja Azmi memberitahu tindakannya memuat naik gambar-gambar mesra dan romantik bersama suami Mohd Eddie Ghazali di laman sosial bertujuan memberi inspirasi kepada pasangan suami-isteri yang sudah lama mendirikan rumah tangga.

Raja Azmi, 57, berkata, perkara tersebut secara tidak langsung menggalakkan  pasangan yang sudah lama berumah tangga agar dapat memupuk semula hubungan mereka seperti baru berumah tangga tanpa rasa malu.

"Kebelakangan ini memang saya sering memuat naik gambar mesra dengan suami, bukan untuk menunjuk-nunjuk kebahagiaan yang sedang saya lalui tapi untuk memberi inspirasi kepada orang lain juga.

"Di televisyen hanya paparkan tentang pasangan muda sahaja yang bahagia, pasangan warga emas pun boleh jadi orang yang romantik juga," ujarnya kepada mStar Online.

Raja Azmi diminta mengulas tentang foto-foto mesra yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Raja Azmi dan Eddie berkahwin pada 13 Oktober 2013 dan berpisah pada 11 November 2014.

Antara foto-foto kemesraan Raja Azmi dan Eddie dalam Instagram miliknya.

Mereka kemudiannya berkahwin semula pada 26 Februari 2016.

Sebelum perkahwinan itu, Raja Azmi  pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Dalam pada itu tambahnya, disebabkan gambar-gambar itu juga dia didekati beberapa individu yang baru dikenalinya untuk meminta nasihat dan resipi kekal bahagia pada usia lanjut.

"Alhamdulillah, ramai yang komen suka melihat gambar-gambar mesra kami di Instagram dan membuatka mereka juga bersemangat untuk kembali menghangatkan semula cinta dengan pasangan mereka.

"Semalam juga selepas selesai solat Terawih saya dihampiri seorang wanita umur akhir 40-an yang bertanya tentang perkara itu. Dia mengikuti Instagram saya dan berterima kasih kerana memberi idea tersebut kepadanya," ujar Raja Azmi.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata pasangan yang sudah berusia tidak seharusnya berasa malu untuk menunjukkan rasa cinta dan mesra mereka terhadap pasangan.

Katanya, pada usia emas itulah sebenarnya saat mereka untuk merasai kebahagian dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Dalam perkembangan lain, Raja Azmi berkata, dia bakal keluar dengan produk bedak sejuk resipi turun temurun keluarganya.

Bedak sejuk yang diberi nama Kak Mie Cun itu dijangka akan mula berada di pasaran dalam masa terdekat.

"Saya mula dapat idea untuk hasilkan bedak sejuk jenama sendiri setelah mendapat tunjuk ajar daripada usahawan Datuk Aliff Syukri.

"Dia juga memberi peluang produk saya ini untuk berada dalam pasaran bersama produk DHerbs, jadi saya tidak ada masalah untuk fikir soal pemasaran," ujarnya.

Raja Azmi

Artikel Lain