suria

Janna Nick Berhati-Hati, Kawal Tutur Kata

Kontroversi jadikan Janna insan lebih baik.

PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick memberitahu kontroversi demi kontroversi yang berlaku banyak mengajar dia agar lebih berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 21, berkata, perkara-perkara negatif yang berlaku itu turut membuka matanya siapakah rakan-rakan yang boleh menjadi kawan atau tidak.

"Kontroversi yang berlaku menjadikan saya insan yang lebih baik, ia banyak mengajar saya untuk berhati-hati dan menyedarkan saya siapa kawan dan siapa musuh.

"Sekarang saya banyak berfikir sebelum bercakap sama ada apa yang saya perkatakan itu disukai atau tidak oleh orang yang mendengar. Tidak semua orang yang sukakan kita," ujarnya kepada mStar Online.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran F&N Syukur Selalu yang diadakan di Sri Pentas, di sini Rabu.

Janna Nick dan Hafidz Roshdi dilantik jadi duta F&N.
Janna sebelum ini dihimpit kontroversi bersikap acuh tidak acuh dengan seorang pengacara berpengalaman, tidak lama selepas itu dia dituduh menghasut seorang pengarah untuk mengugurkan nama pelakon Ruhainies dalam sebuah filem.

Dalam pada itu, ditanya tentang hubungannya dengan Ruhainies, Janna berkata, dia masih belum berkesempatan bertemu dengan pelakon wanita itu pada mana-mana majlis hiburan.

"Kalau dia sudah beritahu kepada media bahawa dia sudah maafkan saya dan saya sudah maafkan dia maka selesailah.

"Setakat ini kami belum pernah bertemu dan tidak tahu apa rasa hati masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut turut memperkenalkan Janna dan pelakon Hafidz Roshdi sebagai duta untuk kempen Hari Raya Aidilfitri ini.

Jenama minuman terkenal itu bakal menyumbangkan derma sebanyak RM200,000 ke Tabung Amal Media Prima Berhad, Tabung Bersamamu dalam meringankan beban komuniti kurang bernasib baik.

Selain itu, sebuah video khas F&N Syukur Selalu dilancarkan di media sosial yang menampilkan Janna Nick & Hafidz Roshdi dengan sasaran 300,000 tontonan.
Janna Nick

Artikel Lain