suria

"Hentikan Sebar Berita Tak Benar! Saya Belum Peluk Islam" - Acappan

Antara gambar yang tersebar kononnya Acappan (tengah) memeluk Islam. Turut kelihatran penyanyi Iwan (kanan) dan pelakon Isma Aliff (dua dari kiri).

PETALING JAYA: Pelawak Acappan meminta orang ramai agar terus menghentikan penyebaran berita kononnya dia sudah memeluk Islam berikutan isu itu menjadi viral di laman sosial sejak Isnin.

Acappan atau nama sebenarnya, Samynathan Rethinan, 58, berkata, foto-foto yang tersebar itu adalah ketika dia menghadiri jemputan berbuka puasa pada Ahad di sebuah surau di Salak Tinggi dekat sini.

"Saya belum lagi bersedia untuk memeluk agama Islam, jika sudah bersedia saya akan beritahu kepada semua tentang itu.

"Saya akui sedang mendalami agama Islam sejak mula berlakon lagi saya suka belajar tentang agama dan berkawan rapat dengan kawan-kawan beragama Islam," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Isnin.

Acappan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan dia sudah memeluk agama Islam selepas foto dia berbuka puasa dengan rakan-rakannya di sebuah surau tersebar.

Acappan.

Terdapat juga rakan artis dalam gambar-gambar yang disebarkan itu antaranya pelakon Isma Aliff, Ijam (Medicine) dan Iwan.

Malah, berita itu juga turut dikongsi oleh rakan-rakan arits di media sosial yang mengucapkan syukur atas penghijrahan berkenaan.

Dia dikatakan menggunakan nama Islamnya Shahrin Abdullah dan ada yang mendakwa namanya Muhammad Ramadhan.

Dalam pada itu menurut Acappan, dia dijemput oleh seorang kawan yang ingin memperkenalkannya dengan seorang ulama Islam bagi membincangkan pelbagai perkara tentang agama.

"Ini merupakan kali pertama saya ke surau atas undangan seorang rakan, katanya ingin bercakap soal agama dengan seorang maulana yang datang di surau itu semalam (Ahad).

"Tidak salah rasanya saya memenuhi undangan tersebut dan berborak-borak tentang agama," ujarnya.

Dalam pada itu, Acappan turut memohon agar orang ramai tidak mudah percaya berita yang tersebar tanpa pengesahan daripada mulut dia terlebih dahulu.

Katanya, sejak foto dan berita itu menjadi viral, dia menerima pelbagai reaksi daripada rakan-rakan terdekat dan keluarga yang meminta pengesahan mengenainya.

Saya suka agama Islam tapi saya mohon bagi saya masa untuk ke arah itu dan jangan sebarkan berita yang tidak betul.

"Hari ini semua jadi kecoh dan keluarga saya juga minta penjelasan berhubung berita ini," ujarnya.

Acappan

Artikel Lain