suria

Nora Danish Sangkal Kafe Ditutup Kerana Tidak Mampu Bayar Sewa

Nora Danish menyangkal dakwaan tidak mampu membayar sewa punca kafe Kopi & XOXO miliknya bersama rakan kongsi ditutup. Foto GLENN GUAN
KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish menyangkal laporan kafe miliknya Kopi & XOXO yang diusahakan bersama rakan kongsi di Bangsar ditutup kerana tidak mampu membayar sewa bulanan yang tinggi.

Nora sebaliknya berkata, penutupan itu terpaksa dilakukan kerana kafe berkenaan selama ini hanya menumpang pada lot kedai yang mengusahakan butik sudah tidak lagi beroperasi.

"Sebenarnya bukan tidak mampu bayar seperti didakwa tetapi perniagaan utama di bangunan itu iaitu butik Rumoda sudah tidak lagi beroperasi.

"Apabila Rumoda keluar, tidak berbaloi untuk kafe kami meneruskan perniagaan di situ kerana tempat itu yang juga sebuah rumah tidak sesuai untuk berniaga.

Nora kini sibuk menguruskan dua cawagan baharu kafe miliknya.

"Itu sebenarnya punca Kopi & XOXO ditutup dan bukannya kerana tidak mampu bayar sewa," katanya kepada mStar Online.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Jurassic World versi Bahasa Melayu yang diadakan di KL Sentral di sini, Selasa.

Menerusi filem berkenaan Nora meminjamkan suaranya menerusi watak Claire dan selebriti lain yang turut terlibat adalah Hisyam Hamid, Izzue Islam, Bront Palarae, Fahrin Ahmad, Nabil Ahmad, Fara Fauzana dan Abby Fana.

Ia bakal menemui penonton menerusi saluran HBO (411) dan HBO HD (431) pada 6 Julai depan, pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Nora berkata, sebagai ganti, dia telah membuka dua buah cawangan kafe tersebut masing-masing di Taman Tun Dr Ismail di sini dan Bangi, Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, dia kini banyak menghabiskan masa di kafe berkenaan bagi mempromosikan makanan dan minuman yang dijual bagi menarik perhatian pelanggan.

"Jika benar kami tidak mampu bayar sewa, tidak mungkin saya bersama rakan kongsi lain berani buka dua cawangan sekali gus.

Barisan pelakon yang terlibat meminjamkan suara mereka untuk filem Jurassic World versi bahasa Melayu.

"Alhamdulillah ia permulaan baik dan sambutan diberikan pelanggan juga cukup menggalakkan terutamanya di Bangi.

"Saya memang sibuk menguruskan kafe buat masa ini sehingga masa bersama keluarga juga agak terhad," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata, dia teruja dapat terlibat dalam filem Jurassic World versi Bahasa Melayu kerana itu adalah kali pertama dia meminjamkan suaranya untuk naskhah antarabangsa.

Bagaimanapun Nora mengakui bukan mudah untuk dia melakukan proses alih suara dan mengambil masa selama dua hari menyiapkan bahagiannya yang memegang watak Claire.

"Harus saya akui melakukan proses alih suara bukan mudah dan saya mengambil masa lima jam setiap sesi selama dua hari untuk menyiapkan bahagian saya.

"Tetapi ia pengalaman baharu untuk saya kerana saya juga dapat belajar tentang lontaran vokal memandangkan suara saya yang agak halus," ujarnya.

Nora Danish, Kopi & XOXO

Artikel Lain