suria

"Sah! Zainol Nikah Bekas Isteri Saya Ahad Lepas" - Rizal

Zainol Macwilson menyangkal dakwaan sudah bernikah pada Ahad lalu. Foto Ihsan Instagram @zainolmacwilson

PETALING JAYA: Ketika Zainol MacWilson menyangkal dakwaan sudah bernikah selepas foto perkahwinannya tersebar di Internet, bekas suami wanita yang dikaitkan dengannya tampil mengesahkan berita itu.

Lelaki  yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal, 45, memberitahu pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan pada Ahad lalu di Kangar, Perlis namun enggan mendedahkan secara terperinci lokasi sebenar pernikahan mereka dilakukan.

Malah Rizal mengesahkan wanita dalam gambar yang tersebar luas di laman sosial dan blog itu adalah bekas isterinya.

"Benar... wanita dalam gambar berkenaan adalah bekas isteri saya dan mereka telah pun berkahwin pada Ahad lalu di kawasan kampung ini juga.

"Saya dapat tahu pun daripada penduduk kampung lain dan cerita mengenai pernikahan mereka cepat tersebar.

"Kenyataan Zainol menafikan perkahwinan tersebut menunjukkan dia seorang penakut untuk mengakui kebenaran tetapi sampai bila dia ingin menipu?" tegasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Rizal berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Zainol dalam sebuah portal berita yang menyangkal dakwaan dia sudah bernikah dan meminta masyarakat tidak percaya dengan gambar yang tersebar di Internet itu.

Zainol dikatakan berkahwin dengan seorang wanita secara rahsia di Perlis pada Ahad lalu.
Jelas bapa kepada aktres Zahirah MacWilson itu, gambar berkenaan adalah salah satu babak dilakonkannya dalam drama Dia Semanis Honey  edisi Hari Raya yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun pengarah drama berkenaan menyangkal dakwaan itu kerana Zainol tidak terlibat dalam sebarang adegan perkahwinan sebagaimana didakwa.

Dalam pada itu, Rizal berkata, dia bercerai dengan bekas isterinya pada Januari lalu dan mengakui perpisahan tersebut ada kaitan dengan Zainol.

Kata Rizal, dia terpaksa akur untuk menceraikan isterinya selepas gagal mempertahankan rumah tangga yang dibina termasuklah berusaha dengan cara berjumpa pengamal perubatan Islam.

"Sudah pelbagai cara saya berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga saya termasuklah berjumpa pengamal perubatan Islam namun gagal sehinggalah saya mengalah dah terpaksa menceraikan isteri saya pada Januari lalu," jelasnya.

Dalam pada itu Rizal turut melahirkan rasa kecewa terhadap Zainol yang mahu menagih simpati orang ramai kerana enggan mengaku perkahwinannya namun berdoa agar dia diberi petunjuk Allah.

Malah Rizal juga tidak menyimpan dendam terhadap bekas isterinya sebaliknya berasa kasihan dengan perkahwinan berkenaan.

Untuk rekod, Zainol pernah bertugas sebagai penyampai berita TV3 pada tahun 1990-an dan kemudiannya berhijrah ke luar negara beberapa tahun sebelum kembali semula ke Malaysia untuk terlibat dalam dunia seni.

Dia berasal dari Perlis.

Zainol MacWilson

Artikel Lain