suria

Suria FM Sangkal Pengunduran Tiga Penyampai Akibat Salah Faham

Kontrak Linda Onn bersama Suria FM tidak disambung.

PETALING JAYA: Pihak pengurusan Suria FM menyangkal dakwaan pengunduran tiga penyampainya iaitu Adibah Noor, Baki Zainal dan Linda Onn dari stesen itu disebabkan perselisihan faham dengan pihak syarikat.

Pengurus Besar Program Suria FM, Subarma Mokhtaruddin atau lebih dikenali sebagai Subi berkata, pengunduran Adibah dan Baki yang mengendalikan segmenCeria Pagi Suria adalah keputusan mereka sendiri selepas kontrak tamat baru-baru ini.

Subi.

"Adibah dan Baki telah memberikan komitmen terbaik sepanjang berkhidmat bersama Suria FM dan mereka juga ingin kembali aktif dalam karier masing-masing iaitu nyanyian dan pengacaraan televisyen.

"Ia adalah keputusan mereka untuk mengundurkan diri dan Suria FM perlu melangkah kehadapan dalam memastikan kehendak pendengar dipenuhi," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Linda, Subi berkata, pihak pengurusan mengambil keputusan tidak menyambung kontrak personaliti itu kerana merasakan sudah sampai masanya stesen berkenaan menampilkan deejay baharu yang lebih segar untuk pendengar.

Bagaimanapun kata Subi, beliau menyangkal tuduhan kononnya tindakan itu dibuat secara mendadak sebaliknya Linda telah dimaklumkan seminggu lebih awal sebelum dia menghabiskan cuti sementara kontrak tamat.

"Secara teknikalnya Linda masih bekerja dengan Suria FM kerana kontraknya hanya akan tamat pada 30 Jun (hari ini).

"Tetapi dia tidak lagi ke udara sejak Jumaat lalu kerana sedang menghabiskan cuti tahunan sebelum kontrak tamat.

Adibah dan Baki Zainal.

"Pihak Suria FM ingin melangkah kehadapan dengan mencari bakat-bakat baharu yang lebih segar buat pendengar," jelasnya.

Sementara itu, Subi berkata, pihaknya sudah pun memilih beberapa nama untuk mengisi kekosongan slot Ceria Pagi Suria dan Ceria Petang Suria.

Mereka terdiri daripada individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran radio. Bagaimanapun ia hanya akan didedahkan secara rasmi pada masa terdekat ini.

"Ada beberapa cadangan nama diberikan dan Alhamdulillah kita sudah dapat pengganti yang akan diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya.

Suria FM adalah salah sebuah stesen radio milik Star Media Group Berhad.

Artikel Lain