PETALING JAYA: Penyampai radio baharu Suria FM iaitu Fizi memberitahu dia pernah membawa diri ke Australia selepas kariernya sebagai deejay di Ultra FM berakhir pada tahun lalu. Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimudin, 27, berkata, pemergiannya itu kerana ingin menggembara selain cuba mencari peluang baharu di negara orang. "Jujurnya selepas Ultra FM ditutup pada tahun lalu saya memang kecewa kerana saya terlalu minat dalam bidang penyiaran radio. "Atas sebab itu juga selepas kejadian itu saya mengambil keputusan untuk menggembara ke luar negara bagi menenangkan fikiran selain cuba mencari inspirasi baharu," katanya kepada mStar Online. Halim Othman, Zulin Aziz dan Fizi bergandingan menerusi segmen Ceria Pagi Suria. Fizi bergandingan bersama Zulin Aziz dan Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi Suria yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi. Dalam pada itu, Fizi berkata, dia mendapat tawaran daripada Suria FM ketika berada di Australia yang pada mulanya menyangka ia sekadar jenaka. Bagaimanapun jelasnya, dia segera kembali ke tanah air untuk menghadiri temuduga dan bersyukur akhirnya diterima sebagai penyampai radio di stesen berkenaan. "Mereka cuba menghubungi saya tetapi tidak berjaya dan meninggalkan pesanan di Facebook dan Instagram berhubung tawaran tersebut. "Terkejut juga saya kerana Suria FM adalah sebuah stesen besar dan saya teruja kerana radio memang minat saya sejak dahulu lagi. Wajah baharu di Suria FM; dari kiri Suraya, Zulin, Tyzo dan Fizi. "Alhamdulillah perjumpaan dengan pihak pengurusan dipermudahkan dan saya diterima menjadi sebahagian keluarga Suria FM," ujarnya. Sementara itu, Fizi berkata, dia menganggap kepercayaan diberikan pihak pengurusan Suria FM memberinya peluang mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria adalah tanggungjawab besar dan berharap pendengar akan menyukai gabungan mereka. "Alhamdulillah ketika di Ultra FM saya juga mengendalikan program pada waktu pagi jadi Insya-Allah pengalaman dua tahun di sana dapat digunakan di Suria FM. "Saya belum pernah bekerja bersama deejay berpengalaman seperti Halim malah Zulin pun kali pertama namun saya yakin kami dapat memberikan terbaik kepada pendengar," jelasnya.