suria

Mula Dikenali Di Indonesia, Mas Idayu Tidak Lupa Negara Sendiri

Mas Idayu akan tetap mengutamakan karier seninya di Malaysia. Foto Ihsan Instagram @masidayu1001

PETALING JAYA: Penyanyi Mas Idayu tidak akan melupakan karier seninya di Malaysia walaupun namanya kini mula menyinar di Indonesia.

Mas Idayu, 47, berkata, walaupun jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti di negara seberang namun dia tetap mengutamakan kariernya di negara sendiri.

"Alhamdulillah rezeki saya di Indonesia memang murah dan saya sendiri tidak menyangka akan diterima baik peminat di sana.

"Bagaimanapun saya tetap akan balik ke Malaysia kerana kerjaya saya masih di sini," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Mas Idayu berkata, dia berbesar hati apabila pihak Astro memilihnya untuk menjadi tenaga pengajar menerusi program Akademi Fantasia 2016 yang bakal bermula pada Ogos depan.

Mas Idayu bakal bertindak sebagai guru vokal persembahan menerusi program Akademi Fantasia 2016.

Kata Mas Idayu, dia teruja kerana gemar menjadi seorang pendidik selain berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

"Saya cukup berbesar hati apabila terpilih kerana saya memang ingin memberi sesuatu kepada industri dan pelantikan sebagai tenaga pengajar adalah cara paling tepat untuk saya kongsi ilmu dan pengalaman.

"Saya mahu Akademi Fantasia tahun ini menjadi yang terbaik dan berharap dapat membantu merialisasikan impian tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Mas Idayu berkata, sebagai tenaga pengajar dia mencari peserta yang bersedia memberikan komitmen selain ikhlas dalam mencari ilmu.

Katanya lagi, dia berharap dapat mencari peserta yang bukan sahaja mempunyai vokal mantap tetapi juga berani dalam mencuba sesuatu dan menampilkan kelainan.

"Mereka tidak perlu takut untuk buat kesalahan kerana paling penting keikhlasan hati mereka dalam menuntut ilmu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mas Idayu berkata, dia bakal melancarkan dua single sekali gus yang mana bakal memperlihatkan dia bekerjasama dengan Datuk Hattan dan Caca Handika dari Indonesia.

"Datuk Hattan akan mencipta lagu untuk dipasarkan di Malaysia manakala Caca menerbitkan single saya di Indonesia.

"Insya-Allah kedua-dua single itu turut dilancarkan di kedua-dua negara," katanya.
Mas Idayu

Artikel Lain